HLN 2026: MPHTJ OLAH SISA CANTASAN POKOK JADI HIASAN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 7 Ogos – Daripada sisa cantasan pokok dan kayu yang ditebang, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membuktikan bahan buangan juga mampu diberi nilai baharu apabila diolah menjadi dekorasi, perabot dan kelengkapan Pavilion sempena Hari Landskap Negara (HLN) 2026 Peringkat Kebangsaan.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, konsep kitar semula diketengahkan menerusi pavilion berkenaan bagi menunjukkan kreativiti warga kerja MPHTJ dalam mengubah bahan buangan kepada produk yang mempunyai nilai guna serta estetika.

Menurutnya, hampir keseluruhan elemen yang digunakan di pavilion termasuk papan pada dinding, kayu, meja dan cenderamata dihasilkan daripada bahan kitar semula, khususnya sisa daripada kerja pemangkasan dan penebangan pokok.

“Konsep kita adalah kitar semula. Kalau kita tengok keseluruhan hiasan Pavilion ini, semua papan-papan yang ada di dinding dan botol yang digunakan semuanya bahan kitar semula.

“Kayu-kayu ini pula daripada pokok yang kita tebang dan dahan yang kita cantas. Meja-meja ini kita buat sendiri, termasuk ‘keychain’ yang turut dihasilkan oleh warga kerja MPHTJ yang mempunyai kepakaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah berkata, Pavilion MPHTJ turut mengetengahkan konsep ruang santai dua tingkat yang diinspirasikan daripada trend kafe dan restoran yang semakin menjadi pilihan golongan muda.

Katanya, ruang di tingkat atas direka sebagai lokasi santai yang membolehkan pengunjung menikmati suasana sekitar, terutama pada waktu malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1304
Kongsi :
Previous post HLN 2026: RUMAH TRADISIONAL, LANDSKAP KAMPUNG JADI KEUNIKAN PAVILION MPJ
Next post INANG-INANG TIGA GENERASI TERUS MEKAR DI KAMPUNG KANDANG