
‘MASJID BONGSU’ PAYA RUMPUT AKHIRI PENANTIAN LEBIH 10 TAHUN
PAYA RUMPUT 7 Ogos – Penantian lebih 10 tahun penduduk Taman Cheng Perdana untuk memiliki masjid sendiri akhirnya terlerai apabila Masjid Saidina Abdul Rahman bin Auf R.A yang menelan kos hampir RM7 juta siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, masjid itu merupakan ‘masjid bongsu’ di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di mana ia telah dibuka dan digunakan komuniti setempat awal tahun ini.
Jelas beliau, kewujudan masjid itu memberi kelegaan kepada penduduk Taman Cheng Perdana kerana sebelum ini terpaksa ke masjid lebih jauh untuk menunaikan solat Jumaat iaitu di Kampung Cheng.
“Selain jauh, masjid di Kampung Cheng juga kecil dan tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai.
“Dengan masjid baharu ini, ia berupaya menampung lebih 1,000 jemaah, sekali gus memberi lebih keselesaan kepada umat Islam untuk menunaikan ibadah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Masjid Saidina Abdul Rahman bin Auf R.A yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput, di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samad serta kenamaan lain.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, urusan tanah bagi pembinaan masjid itu diselesaikan ketika beliau baru sahaja menjadi wakil rakyat Paya Rumput.
Menurutnya, beliau kemudian terus memperjuangkan pembinaan masjid berkenaan sehingga ia siap dan kini menjadi nadi komuniti umat Islam di sekitar Cheng Perdana.
“Mewakili warga Cheng Perdana, kita amat bersyukur kerana kebiasaannya perasmian sesebuah masjid mengambil masa yang lama, tetapi masjid ini berjaya disempurnakan perasmiannya hanya selepas lima bulan ia mula digunakan.
“Terima kasih kepada Tun Dr. Mohd Ali dan terima kasih juga kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang banyak membantu merealisasikan hasrat penduduk Cheng Perdana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


