
SOKONGAN MAIM BANTU USAHAWAN PASAR MALAM BERKEMBANG
AYER KEROH 7 Ogos – Bermula dengan menjual ‘corndox mini’ di pasar malam, seorang ibu kepada dua cahaya mata kini mampu menghasilkan sehingga 2,000 batang snek popular itu sehari dengan sokongan bantuan peralatan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Usahawan Corndox Mini by Umar Licious, Zarifah Abdullah, 31 berkata, bantuan yang diterima daripada MAIM itu digunakan untuk membeli sebuah peti sejuk beku (freezer), sekali gus membantu menguruskan penyimpanan stok makanan sejuk beku dihasilkannya.
Katanya, sebelum memiliki freezer beliau berdepan kesukaran menyimpan stok, terutama apabila mula menerima tempahan secara dalam talian selain berniaga di pasar malam.
“Ketika itu saya memang sangat memerlukan freezer. Alhamdulillah, MAIM membantu dengan memberi sumbangan wang tunai dan saya gunakannya untuk membeli freezer sendiri.
“Dengan adanya freezer, kerja saya menjadi lebih mudah kerana stok makanan sejuk beku dapat disimpan dengan lebih teratur. Saya juga dapat menampung jualan di pasar malam serta tempahan secara dalam talian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Zarifah, beliau telah lebih dua tahun menjadi usahawan bimbingan MAIM dan turut mengikuti pelbagai kursus keusahawanan yang dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran menguruskan perniagaan.
Katanya, perniagaan yang diusahakan di beberapa lokasi pasar malam dari Selasa hingga Sabtu kini menerima sambutan menggalakkan dengan purata jualan sekitar 500 batang makanan berasaskan sosej itu sehari.
“Saya berharap produk saya akan terus dikenali dan pada masa sama akan memohon bantuan tambahan seperti mesin bancuhan doh bagi memudahkan proses penyediaan serta meningkatkan pengeluaran pada masa akan datang,” katanya.
Bagi Zarifah, setiap bantuan dan bimbingan yang diterima bukan sekadar meringankan urusan perniagaan, malah menjadi suntikan semangat untuk terus mengembangkan perusahaan yang dibina sedikit demi sedikit bermula dari tapak pasar malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


