
INSTITUSI PENDIDIKAN AGAMA MELAKA TERIMA PERUNTUKAN PENYELENGGARAAN RM1.29 JUTA
LENDU 7 Ogos – Sebanyak RM1.29 juta disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan menambah baik kemudahan di institusi pendidikan Islam di Negeri Melaka bagi tahun ini.
Perkara itu diumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah, di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.
“Usaha memperkasakan institusi pendidikan Islam dipertingkatkan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan. Pada 2022 saya ambil alih, Kerajaan Perpaduan dan pada 2023 saya mula salurkan bantuan dan pada 2024 kita tingkatkan lagi.
“Baiki sekolah pondok, bagi latihan AI (kecerdasan buatan) dan komputer di sekolah pondok, kalau tidak, kita ada sekolah lain seperti sekolah Cina, sekolah Tamil yang diurus baik, sekolah pondok ketinggalan. Tidak boleh,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim.
Bantuan penyelenggaraan melibatkan 13 institusi pendidikan Islam iaitu Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Telok Mas (RM250,000), Sekolah Agama Rakyat (SRA) JAIM Durian Tunggal (RM140,000), SRA JAIM Tebong (RM30,000), SRA JAIM Kampung Baru, Rembia (50,000), SRA JAIM Serkam Darat (RM70,000), SRA JAIM Taman Maju, Rim (RM100,000), SRA JAIM Tun Razak, Ayer Keroh (RM65,000) dan SRA JAIM Batu Berendam, Ayer Keroh (RM70,000)
Peruntukan turut disalurkan kepada SRA JAIM Taman Tasik Utama, Ayer Keroh (RM40,000), Sekolah Menengah Arab (SMA) JAIM Al Asyraf, Alor Gajah, Gadek (RM65,000), SMA JAIM Assayidah Khadidah, Jasin (RM160,000), Sekolah Rendah Arab JAIM Tun Abdul Razak, Bukit Katil (RM50,000) dan Sekolah Rendah Arab Pernu, Telok Mas (RM200,000).
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI akan memastikan keperluan pendidikan bagi semua aliran seluruh negara diberikan perhatian secara seimbang tanpa meminggirkan mana-mana kaum.
Jelas beliau pemberian bantuan kepada institusi pendidikan Islam, bukan bermakna kerajaan mengabaikan sekolah vernakular, sebaliknya peruntukan kepada sekolah Cina dan Tamil yang telah diluluskan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


