KERJASAMA PERSEKUTUAN, MELAKA WAJAR JADI CONTOH – PM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PAYA RUMPUT 7 Ogos – Perbezaan fahaman termasuk politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan persahabatan dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri khususnya apabila melibatkan hal membawa manfaat secara langsung kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sistem pentadbiran negara memerlukan kerjasama kukuh di semua peringkat dan perbezaan pandangan politik tidak boleh menjejaskan agenda pembangunan yang memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Sistem negara kita memerlukan suatu kerjasama yang sangat erat. Kita tidak boleh menghalang pandangan agak berbeza, parti yang berbeza, tapi ia tidak boleh menyekat persahabatan, persaudaraan dan kerjasama yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara 2026 bertemakan Landskap Lestari, Malaysia MADANI di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib; serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerjasama erat ditunjukkan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Melaka serta Pihak Berkuasa Tempatan dalam menjayakan Sambutan Hari Landskap Negara 2026 wajar dijadikan contoh untuk merealisasikan agenda pembangunan negara.

Anwar, turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang penganjuran program berkenaan.

“Sambutan di Melaka ini dan kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri Melaka dan Bandaraya Melaka, saya ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

“Saya kalau datang negeri Melaka ini memang saya tak pernah tolak, setuju terus,” katanya.

Menurutnya lagi semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap dasar, projek serta inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekali gus memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, pendekatan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pentadbiran berteraskan nilai, kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam membangunkan negara.

“Kita tidak boleh menghalang pandangan agak berbeza, parti yang berbeza, tapi ia tidak boleh menyekat persahabatan, persaudaraan dan kerjasama yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post KPKT JALIN KERJASAMA DENGAN UN-HABITAT BANGUNKAN MY PUBLIC SPACE
Next post HLN 2026: MELAKA BANGUNKAN 6 PROJEK LANDSKAP DALAM DUA TAHUN