
‘RC POWER BOAT’ SERLAH POTENSI BAHARU TASIK CHINCHIN
RIM 8 Ogos – Sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 100 penggiat dari seluruh negara termasuk Thailand, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuka potensi Tasik Chinchin untuk dijadikan hab penganjuran sukan RC Power Boat bertaraf antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, penganjuran sulung sempena Festival Sungai Melaka 2026 anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu membuktikan Tasik Chinchin mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diketengahkan sebagai lokasi sukan air dan rekreasi.
Jelas beliau, ia sekali gus menyerlahkan lagi potensi Tasik Chinchin untuk dibangunkan sebagai lokasi penganjuran sukan air masa kini.
“Ini merupakan penganjuran kali pertama diadakan di sini dan melihat kepada sambutan amat menggalakkan ini, saya berharap ia dapat dijadikan acara tahunan di tasik ini.
“Saya sangat-sangat menyokong dan menghargai pengisian seperti ini kerana sudah tentu lama-kelamaan ia akan menjadi salah satu program yang sangat baik dan boleh menjadi penanda aras kepada program sukan air yang berupaya merancakkan sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Melaka RC Power Boat Merdeka Race Open Challenge sempena Festival Sungai Melaka 2026 di Tasik Chinchin, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris serta kenamaan lain.
Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, Tasik Chinchin kini sedang berkembang dengan pelbagai tarikan baharu. sekali gus wajar diketengahkan sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi.
Jelas beliau, antara tarikan yang disediakan adalah seperti chalet terapung, kawasan perkhemahan, taman tema air dan pelbagai lagi aktiviti riadah dan sukan air.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


