
ANAK MUDA MELAYU BUKTIKAN BIDANG TEKNIKAL MAMPU PERGI JAUH
PAYA RUMPUT 8 Ogos – Bermula dengan keberanian menceburi bidang teknikal yang kurang diceburi usahawan Melayu, AF Energy Group M Sdn Bhd kini berkembang sehingga memiliki dua premis penyaman udara di Melaka.
Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil berkata, kejayaan itu membuktikan anak muda masa kini juga mampu membina empayar perniagaan dalam bidang teknikal dan mengembangkannya ke skala lebih besar.
Menurutnya, syarikat berkenaan kini mempunyai ‘showroom’ penyaman udara di Jasin dan One Krubong, selain menyediakan perkhidmatan berkaitan, termasuk pemasangan serta penyelenggaraan.
“Ini satu perniagaan yang baik untuk diceburi orang Melayu kerana sebelum ini kita mungkin kurang melihat anak muda Melayu menceburi bidang seperti elektrikal dan penyaman udara pada skala seperti ini.
“Namun, untuk sampai ke tahap sekarang bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan, dan saya difahamkan pengusahanya baru berusia 35 tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan pembukaan Showroom dan Premis Baharu AF Energy Group M Sdn Bhd di One Krubong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah AF Energy Group M Sdn Bhd Muhammad Hanaffi Saleh dan Pengurus Besar AF Energy Group M Sdn Bhd Sabrina Hanin Ramli.
Zahari berkata, pendekatan syarikat berkenaan yang mengembangkan perniagaan daripada jualan produk kepada perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan menjadi antara faktor penting membolehkan perniagaan berkembang lebih jauh.
Katanya, strategi itu membuktikan usahawan perlu melihat peluang perniagaan secara lebih menyeluruh dan tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.
“Kalau sekadar menjual penyaman udara, kita hanya tertumpu kepada jualan. Tetapi apabila dikembangkan kepada perkhidmatan elektrikal, pemasangan, penyelenggaraan penyaman udara serta kerja-kerja berkaitan untuk pejabat dan premis, cabang perniagaan menjadi lebih luas.
“Ini yang kita mahu lihat dalam kalangan anak muda Melayu, iaitu berani mengembangkan perniagaan dan melihat peluang baharu supaya perniagaan dapat bertahan serta pergi lebih jauh,” katanya.

Menurutnya, kejayaan syarikat berkenaan juga boleh dijadikan contoh kepada golongan muda lain supaya tidak melihat bidang teknikal sebagai perniagaan kecil-kecilan semata-mata.
“Bukan kita tidak ada anak Melayu yang buat kerja elektrikal atau penyaman udara. Ada, malah ramai yang menjalankan perkhidmatan itu dari rumah ke rumah.
“Tetapi apa yang kita lihat hari ini lebih besar dan tersusun. Jadi, saya berharap anak muda lain dapat mengambil sedikit pengalaman daripada kejayaan ini dan melihat bahawa bidang seperti ini juga mempunyai potensi untuk berkembang,” katanya.
Zahari berkata, pembukaan premis baharu itu bukan sahaja memberi ruang kepada syarikat untuk memperluaskan operasi, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda dan merancakkan ekonomi setempat.
“Pembukaan premis baharu ini adalah perkembangan positif yang bukan sahaja memberi ruang kepada syarikat untuk berkembang, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


