‘BERMODALKAN’ KEMAHIRAN, ANAS BINA EMPAYAR PENYAMAN UDARA

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

PAYA RUMPUT 8 Ogos – Bermodalkan kemahiran teknikal dan keberanian mencuba, Muhammad Hanaffi Saleh, 35, atau mesra dengan panggilan Anas kini berjaya mengembangkan perniagaan penyaman udara sehingga menggajikan 20 pekerja.

Pengarah AF Energy Group M Sdn Bhd itu berkata, perjalanan lebih 13 tahun dalam bidang berkenaan bermula selepas menamatkan pengajian di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuala Lumpur sebelum bekerja dengan beberapa syarikat bagi menimba pengalaman.

Katanya, pengalaman tersebut menjadi asas sebelum dia memberanikan diri memulakan perniagaan sendiri pada 2013 tanpa modal besar, pelabur mahupun bantuan kewangan keluarga.

“Saya bermula dengan bekerja dengan orang dahulu untuk kumpul pengalaman dalam bidang penyaman udara sebelum memberanikan diri berniaga secara kecil-kecilan.

“Hasil upah pemasangan penyaman udara yang diterima ketika itu, saya mula jadikannya sebagai modal pusingan untuk mengembangkan perniagaan secara berperingkat sebelum mampu membeli kenderaan, menyediakan stor dan membuka premis sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Showroom dan Premis Baharu AF Energy Group M Sdn Bhd yang disempurnakan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil di One Krubong, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2026 08 08 at 4.27.32 PM
MENJADI bukti nyata anak muda mampu berjaya dengan usaha.

Menurutnya, daripada hanya tiga pekerja ketika memulakan operasi, syarikat itu kini mempunyai 20 pekerja dengan dua segmen utama iaitu membekalkan penyaman udara kepada vendor serta pemasangan dan jualan terus kepada pelanggan.

“Daripada pemasangan itu kami kumpul hasil dan jaga aliran tunai dengan baik. Sedikit demi sedikit kami boleh simpan stok sendiri dan mula membekalkan unit kepada orang lain.

“Dahulu jika ada beberapa unit sekalipun kami simpan di stor. Tidak perlu terus ada kedai besar, yang penting kita bergerak ikut kemampuan,” katanya.

Tambah anak muda itu, perjalanan membangunkan perniagaan turut mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa selepas pernah mengalami kerugian lebih RM100,000 akibat ditipu dalam urusan perniagaan.

“Dalam perniagaan memang ada masa kita jatuh. Bila kita jatuh, kita kena pilih sama ada mahu bangun atau tidak. Bagi saya, pengalaman itu sangat mahal. Kita kena paksa diri untuk terus bergerak dan bekerja keras untuk naik semula,” katanya.

Menurutnya, usaha berterusan membolehkan syarikat miliknya dilantik sebagai pengedar sah Eastern Malaysia pada 2021, sekali gus memperluas rangkaian perniagaannya.

WhatsApp Image 2026 08 08 at 4.27.44 PM
MENCERITAKAN kisah perjalanan jatuh bangun sehingga terbinanya empayar AF Energy Group M Sdn Bhd di One Krubong.

Dalam pada itu, dia turut berpesan kepada golongan muda untuk tidak takut dalam memulakan perniagaan meskipun tidak mempunyai modal besar, sebaliknya perlu memanfaatkan setiap kemahiran yang dimiliki.

“Jangan fikir kena ada modal besar baru boleh mula. Kalau kita ada kemahiran, kita gunakan kemahiran itu untuk cari pengalaman dan bina perniagaan. Buat sedikit demi sedikit, jaga perniagaan dengan baik dan jangan takut untuk mencuba,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar AF Energy Group M Sdn Bhd, Sabrina Hanin Ramli yang juga isteri Anas berkata, perjalanan membangunkan perniagaan itu penuh dengan liku, namun mereka memilih untuk terus sabar dan tidak mudah berputus asa.

“Saya dan suami mula sedikit demi sedikit dengan servis penyaman udara dan daripada situ kami teruskan sehingga sekarang. Memang banyak jatuh bangun, tetapi kami tetap berusaha dan teruskan apa yang sudah dimulakan sehinggalah mencapai apa yang ada kini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post MANFAAT RAKYAT JADI ‘SCORECARD’ SEBENAR MELAKA
Next post MIHF’26 BUKA LALUAN USAHAWAN TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA