
DUA TAHUN PENUH MAKNA, TERIMA KASIH SUK AZHAR – KM
AYER KEROH 10 Ogos – Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Wira Azhar Arshad atas segala bakti, kesetiaan dan khidmat dicurahkan sepanjang dua tahun menerajui pentadbiran negeri sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Azhar yang bakal menamatkan perkhidmatan dan melangkah ke alam persaraan mulai 11 Ogos ini merupakan antara figura penting dalam perjalanan pentadbiran Melaka sepanjang tempoh berkhidmat.
“Kata orang dulu-dulu, setiap pertemuan ada perpisahan, setiap permulaan pasti ada pengakhirannya.
“Dua tahun lalu saya menyambut kehadiran beliau dengan penuh keyakinan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri. Namun, hari ini saya perlu mengakui hakikat bahawa kita bakal melepaskan seorang figura penting dalam perjalanan pentadbiran Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan Azhar, pelbagai cabaran telah ditempuhi, keputusan besar dibuat dan kejayaan dicapai bersama bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berada pada landasan terbaik.
“Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh warga perkhidmatan awam Melaka, saya mengucapkan selamat bersara dan terima kasih atas segala bakti, kesetiaan dan khidmat yang telah dicurahkan kepada negeri Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Azhar sebagai Penasihat Khas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-273 yang berkuat kuasa dari 17 Ogos hingga 16 Oktober 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


