MPAG ‘SEGARKAN’ TAMAN REKREASI BUKIT BERINGIN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ALOR GAJAH 19 Ogos – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus memperkasa kemudahan awam dalam kawasan pentadbirannya menerusi projek naik taraf Taman Rekreasi Bukit Beringin yang menelan belanja RM500,000.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, projek naik taraf tersebut bukan sekadar membina kemudahan telah rosak namun mentransformasikan fungsi taman tersebut agar lebih selamat, selesa, mesra komuniti dan lengkap dengan ruang riadah untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.

Katanya, penambahbaikan utama dilaksanakan MPAG adalah menerusi laluan pejalan kaki dilebarkan daripada 1.2 meter (m) kepada 2.2m, sekali gus memberikan ruang lebih luas dan selesa kepada pengguna terutama ketika taman berkenaan dikunjungi orang ramai.

“MPAG turut menyediakan laluan basikal baharu sebagai usaha memperbanyakkan pilihan aktiviti fizikal kepada komuniti, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk sekitar.

“Lebih penting aspek keselamatan pengguna turut diberikan perhatian apabila lampu solar dipasang di sepanjang laluan pejalan kaki dan laluan basikal seterusnya membolehkan kemudahan berkenaan dimanfaatkan dengan lebih selamat pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, langkah itu memperlihatkan pendekatan MPAG yang tidak hanya tertumpu kepada penyelenggaraan kemudahan sedia ada sebaliknya mengambil kira keperluan semasa masyarakat dalam merancang kemudahan rekreasi yang lebih praktikal dan berdaya guna.

“Dengan kemudahan yang dinaik taraf Taman Rekreasi Bukit Beringin kini berpotensi menjadi lokasi tumpuan komuniti untuk aktiviti berjalan kaki, berbasikal, riadah dan aktiviti kekeluargaan dalam persekitaran yang lebih kondusif.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen MPAG dalam memastikan kemudahan awam di daerah Alor Gajah ini terus dipertingkatkan secara berterusan, selaras dengan aspirasi menyediakan persekitaran bandar yang lebih berkualiti, selamat dan menyokong kesejahteraan masyarakat,”

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post THANUSAA CIPTA KEJUTAN, SUMBANG EMAS UNTUK MELAKA