
MAIM GALAK UMAT ISLAM PERKASA INSTRUMEN SAHAM WAKAF
PENGKALAN BATU 19 Ogos – Umat Islam digalakkan untuk menyumbang kepada saham wakaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi pembinaan masjid, penyediaan tapak perkuburan Islam dan kemudahan lain memberikan faedah kepada masyarakat Muslim di negeri ini.
Ketua Unit Hartanah MAIM Muhammad Effandi Othman Kamal Shah berkata, ketika ini sedang berlangsung kutipan Tabung Saham Wakaf MAIM Masjid Al-Ibadah Bukit Piatu bagi tujuan cadangan pembelian Tanah Perkuburan Islam Kampung Musai di atas sebahagian lot 239 Mukim Banadr Bukit Baru Seksyen 4, Daerah Melaka Tengah.
“Perkara ini secara tidak langsung akan menyuburkan lagi syiar Islam di Negeri Melaka dengan menyediakan kemudahan yang selesa bagi tujuan ibadat dan aktiviti memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Kepada mereka bercadang untuk mewujudkan tabung saham wakaf bagi tujuan pembinaan masjid dan sebagainya boleh ke kaunter MAIM bagi tujuan permohonan. Pegawai bertugas akan membantu melancarkan proses dan apabila sudah lulus kutipan boleh dijalankan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat berhubung cadangan pembelian tanah perkuburan Islam Kampung Musai di Tanah Pekuburan Kampung Musai, di sini, 4 Ogos lalu.
Sesi taklimat itu adalah bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Kutipan Tabung Saham Wakaf MAIM Masjid Al-Ibadah Bukit Piatu sudah dimulakan awal 2025 dan berdasarkan perkembangan yang amat positif pihak masjid diyakini mampu mengumpul dana RM400,000 bagi urusan pembelian tanah berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

