TOK AJAK ‘HIDUPKAN’ BELIA DAN SUKAN TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TELOK MAS 20 Ogos – Pembangunan fasiliti sukan untuk golongan belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas terus diperkasa apabila pelbagai kerja naik taraf dan pembinaan baharu gelanggang sukan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan semasa anak muda di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, usaha itu diperkasa menerusi pembinaan gelanggang sukan baharu, selain membaik pulih kemudahan sedia ada.

Abdul Razak yang mesra dengan panggilan Tok Ajak berkata, antara kemudahan diterima adalah sebuah gelanggang futsal baharu di Kampung Alai bernilai RM600,000 menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani.

“Menerusi program ini, DUN Telok Mas menerima peruntukan kira-kira RM1 juta, di mana RM600,000 daripadanya digunakan khusus untuk pembinaan gelanggang futsal berbumbung baharu di kawasan Alai.

“Pembinaan gelanggang baharu ini nyata memberi manfaat besar kepada anak muda di Telok Mas kerana sukan futsal menjadi antara aktiviti sukan utama digemari anak muda di kawasan ini,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Menurut Abdul Razak, turut menjadi fokus utama ketika ini adalah membaik pulih kemudahan sukan sedia ada termasuklah membaiki kerosakan infrastruktur seperti pagar dan pencahayaan membabitkan gelanggang-gelanggang sedia di kampung atau taman perumahan.

Ujar beliau, pembangunan fasiliti sukan bukan sahaja memberi ruang kepada belia untuk beriadah secara sihat, malah membantu mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.

Katanya, selaku wakil rakyat, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan kemudahan sukan di peringkat akar umbi, namun masih terdapat beberapa lokasi yang memerlukan penambahbaikan berikutan kekangan peruntukan.

“Kita akui masih ada kemudahan sukan yang perlu dibaiki, dan kita akan terus usahakan secara berperingkat mengikut kemampuan peruntukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

602
Kongsi :
Previous post MPV DIHEMPAP POKOK TUMBANG: ENAM TERMASUK KANAK-KANAK TERSELAMAT