31 OGOS: JOM JALAN-JALAN MELAKA, 13 PRODUK PELANCONGAN PERCUMA MENANTI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Melaka lebih bermakna apabila orang ramai berpeluang menikmati kemasukan percuma ke 13 tarikan pelancongan terpilih di seluruh negeri pada 31 Ogos ini.

Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada keluarga dan pelancong meneroka pelbagai tarikan pelancongan, rekreasi, sejarah dan warisan di seluruh negeri tanpa dikenakan bayaran kemasukan pada hari istimewa itu.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara ‘hadiah’ daripada Kerajaan Negeri kepada rakyat Melaka dan luar negeri ini menyambut kemerdekaan bersama keluarga dalam suasana penuh istimewa.

“Jadi jom jalan-jalan Melaka merdeka ini. Bawa keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati tarikan menarik di negeri ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Menurut Abdul Razak, antara produk pelancongan yang menawarkan kemasukan percuma adalah Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Eco Cruise Sungai Linggi, Eco Cruise Tasik Chin Chin, muzium di bawah kendalian Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Zoo Melaka.

Turut terlibat ialah Muzium Penjara Malaysia Melaka, Kompleks Kraf Melaka, Kompleks Air Panas Gadek, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka Wonderland & Themepark, Ayer Keroh Country Club (AKCC) serta Tiara Melaka Golf & Country Club.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, kemasukan percuma berkenaan hanya ditawarkan pada 31 Ogos 2026 dan tertakluk kepada waktu operasi, kapasiti serta syarat kemasukan yang ditetapkan oleh setiap pengendali produk pelancongan.

Berdasarkan poster yang disertakan, rata-rata produk pelancongan yang menawarkan kemasukan percuma bakal memulakan operasi seawal jam 9 pagi, kecuali Kompleks Air Panas Gadek yang bermula pada jam 5 petang.

Selain itu, terdapat juga produk pelancongan yang meletakkan had pengunjung seperti Melaka Wonderland & Themepark dan Kompleks Air Panas Gadek untuk 500 yang terawal dan Tiara Melaka Golf & Country Club yang menawarkan ‘green fee’ percuma bagi 40 orang terawal.

Justeru, orang ramai boleh mengambil kesempatan sempena Hari Kebangsaan untuk meneroka pelbagai pengalaman menarik di Melaka, daripada aktiviti rekreasi dan riadah, sejarah serta warisan hinggalah ke tarikan alam semula jadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

355
Kongsi :
Previous post 11,037 KES MAHKAMAH SYARIAH MELAKA SELESAI, BUKTI KEADILAN SEMAKIN CEKAP