PROJEK SAKIT JKR MENURUN 4.13 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 20 Ogos – Trend projek sakit di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) menunjukkan perkembangan positif apabila menurun daripada 6.81 peratus pada Jun 2025 kepada 4.13 peratus setakat ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, penurunan itu hasil pemantauan berterusan oleh Pegawai Penguasa (SO) serta lawatan turun padang (TURPA) yang dilaksanakan pengurusan atasan JKR termasuk kepimpinan tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR).

Beliau berkata, pendekatan berkenaan membolehkan isu yang berbangkit dalam pelaksanaan projek dikenal pasti dan ditangani dengan segera bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut perancangan.

“Melalui pemantauan rapi serta lawatan turun padang oleh pengurusan atasan JKR termasuk kepimpinan tertinggi KKR, kita dapat memahami isu-isu yang berbangkit dan menyelesaikan masalah projek.

“Kita terus memperkukuh pemantauan dan kawalan projek bagi memastikan pelaksanaan pembangunan fizikal dapat disegerakan selaras dengan hala tuju kementerian untuk mencapai Sifar Projek Sakit.

“Usaha ini turut memberi penekanan kepada projek yang dilaksanakan lebih awal daripada jadual (Ahead of Time) serta memastikan aspek keselamatan di tapak pembinaan sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 3 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Tun Muktahir, Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir. Ibrahim Esa; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar dan lain-lain ketua jabatan serta agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, antara penyebab utama yang mempengaruhi pelaksanaan projek ialah isu kontraktor (81 peratus) seperti kelemahan pengurusan projek, masalah aliran kewangan serta kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan di tapak.

“Selain itu, isu-isu lain (19 peratus) ialah pengambilan balik tanah dan bayaran pampasan, masalah kelulusan dan kelewatan pengalihan utiliti seperti air, elektrik, pembentungan dan telekomunikasi serta masalah cuaca dan bencana alam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

325
Kongsi :
Previous post 31 OGOS: JOM JALAN-JALAN MELAKA, 13 PRODUK PELANCONGAN PERCUMA MENANTI