‘SAYA PILIH SIAPA BERI MAS KAHWIN TERBAIK’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Barisan Nasional (BN) Melaka belum memulakan sebarang rundingan dengan mana-mana pakatan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 akan datang, kata Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Katanya, setakat ini belum ada satu titik pertemuan secara rasmi untuk BN Melaka memulakan rundingan atau perbincangan tentang apa yang dikatakan sebagai BN Plus.

“Saya sekali lagi menegaskan bahawa walaupun kita berbincang tak semestinya kita mendapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini. Kita terbuka kepada mana-mana pihak tidak kira PAS atau PKR atau mana-mana parti lain yang mahu berbincang.

“Apa yang penting ialah Melaka akan mempertahankan 21 kerusi yang kita menangi, tentu ada perubahan dalam agihan kerusi tetapi titik perbincangan itu mesti bermula pada 21 kerusi yang akan kita pertahankan. Walaupun ada pertukaran kerusi tetapi tetap 21 untuk BN Melaka.

“Terlalu awal untuk buat keputusan siapa jodoh, kita (Melaka) ini anak dara yang cantik, pastinya saya sebagai ketua dalam keluarga ini akan memilih siapa beri mas kahwin yang terbaik untuk jadi menantu. Jadi semua tunggu saya akan buat perbincangan dan hasil perbicangan tersebut kita akan bagi tahu kepada seluruh rakyat Melaka yang kini sedang ternanti-nanti,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Melaka, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada keputusan itu akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijadualkan 28 Ogos nanti, Ab Rauf berkata semuanya bergantung kepada perbincangan lanjut dengan pihak berkenaan.

“Belum ada pertemuan dalam tempoh terdekat dan saya akan guna ibu pejabat UMNO sebagai tempat rundingan bukan di Melaka. Namun kita tidak boleh tunggu lama kerana sudah pasti akan berlaku PRN di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post PROJEK SAKIT JKR MENURUN 4.13 PERATUS