
KOMPLEKS IKAN BAKAR BERKONSEP EROPAH ADA DI TELOK MAS
TELOK MAS 21 Ogos – Industri pelancongan berasaskan makanan terus diperkasakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas apabila Medan Ikan Bakar Sungai Punggur kini tampil dengan wajah baharu yang lebih moden dan menarik apabila siap dinaik taraf dengan kos berjumlah RM5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pembangunan semula kawasan tersebut merupakan antara inisiatif di bawah ’10 Janji Razak’ yang bertujuan menaikkan taraf kemudahan peniaga serta menarik lebih ramai pengunjung.
Menurut beliau, reka bentuk medan ikan bakar berkenaan turut disuntik dengan elemen seni bina moden bercirikan gaya Eropah tanpa menghilangkan identiti tempatan, menjadikannya lebih unik dan berdaya tarikan tinggi.
“Kalau pergi ke Sungai Punggur sekarang, kita boleh lihat Medan Ikan Bakar yang sudah dinaik taraf dengan kos sekitar RM5 juta. Reka bentuknya kita buat lebih moden dan menarik, dengan sedikit elemen seni bina Eropah supaya nampak lebih segar dan sesuai dengan konsep pelancongan,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.
Tidak hanya itu, Abdul Razak berkata, sejumlah RM2 juta lagi telah diperuntukkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membangunkan kawasan rekreasi di sepanjang Sungai Punggor.
Jelas beliau, projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga ikan bakar, malah turut menjadikan Sungai Punggor sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancongan di Melaka, khususnya dalam segmen pelancongan makanan dan rekreasi.
Katanya, usaha menaik taraf kawasan tersebut juga selaras dengan agenda Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan produk pelancongan agar tidak hanya tertumpu kepada lokasi bersejarah semata-mata.
“Saya mahu kawasan ini bukan sahaja menjadi tempat makan, tetapi juga lokasi pelancongan yang lengkap dengan suasana rekreasi yang menarik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


