
MELAKA SAMBUT MERDEKA TEPI LAUT, 3 KAPAL PERANG TLDM ‘BERLABUH’
BANDARAYA MELAKA 21 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka tahun ini tampil lebih istimewa apabila tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal dipamerkan kepada orang ramai.
Ia menjadi antara tarikan utama sambutan yang buat julung kalinya diadakan di Dataran 1 Malaysia, Klebang, berlatarbelakangkan laut dan Selat Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran aset TLDM itu merupakan satu keistimewaan kepada Melaka sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Paling penting, pada sambutan Hari Merdeka ini, kita ada tiga kapal perang TLDM yang buat pertama kalinya diberikan keistimewaan untuk dipamerkan di Melaka.
“Ini kerana kita mengadakan sambutan kemerdekaan di tepi laut dan orang ramai berpeluang melihat sendiri aset ketenteraan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas bersiaran dalam program Tok Rauf Masuk Konti di MELAKAfm, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, pelbagai pengisian menarik disusun bermula 29 hingga 31 Ogos ini bagi memberi peluang kepada rakyat Melaka dan pengunjung luar negara meraikan Hari Kebangsaan dalam suasana lebih meriah dan penuh semangat patriotik.
Ab Rauf berkata, antara acara yang menjadi tumpuan ialah Melaka Berselawat dengan menampilkan Habib Syech Assegaff dari Indonesia yang akan mengetuai program berkenaan di Dataran 1 Malaysia, Klebang pada 29 Ogos.
Selain itu, katanya, Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos turut menampilkan pelbagai pengisian kebudayaan serta persembahan artis jemputan dari dalam dan luar negara.
“Kemuncaknya pada 31 Ogos juga membawakan pelbagai pengisian menarik, antaranya perbarisan dan perarakan kontinjen, perarakan aset kenderaan, persembahan etnik dan budaya, acara padang, acara kreatif serta perarakan kereta berhias.
“Kita juga akan menyaksikan lintas hormat udara dan pelbagai demonstrasi yang pastinya menambahkan lagi kemeriahan sambutan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


