HARI KEBANGSAAN MELAKA: 30 BAS, 90 VAN SHUTTLE PERCUMA MUDAHKAN ORANG RAMAI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Ogos – Sebanyak 30 bas dan 90 van ulang-alik (shuttle) percuma disediakan Kerajaan Negeri bagi memudahkan pergerakan ribuan pengunjung ke lokasi Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka di Klebang pada 29 hingga 31 Ogos ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, penyediaan pengangkutan awam itu merupakan antara persiapan utama Kerajaan Negeri bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memastikan kelancaran pergerakan pengunjung pada hari sambutan.

Jelas beliau, sebanyak 13 lokasi pengambilan penumpang (pick-up point) disediakan bagi memudahkan pengunjung awam mendapatkan perkhidmatan shuttle dari zon parkir ke lokasi sambutan.

“Antara lokasi berkenaan ialah The Sail Gallery, Residensi PR1MA, Muzium Kapal Selam, Dataran Klebang, Pameran Kapal TLDM, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, perkarangan Masjid Al Amininin dan perkarangan Hotel Courtyard.

“Lokasi lain ialah Kawasan Komersial Kota Bendahari, bahu jalan Eye On, Kompleks Perniagaan Taman Limbongan Jaya, Kompleks Perniagaan Taman Shahbandar serta Kompleks Perniagaan Taman Kota Laksamana,” katanya ketika bersiaran di MELAKAfm bagi Persediaan Logistik, Keselamatan dan Perpaduan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, selain penyediaan perkhidmatan shuttle, pelan lencongan jalan turut disediakan bagi mengurus aliran trafik sepanjang sambutan berlangsung menerusi kerjasama penuh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, maklumat lengkap mengenai pelan lencongan jalan akan diumumkan lebih awal menerusi media sosial rasmi Kerajaan Negeri Melaka bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan masing-masing.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terlebih dahulu mengenai laluan yang terlibat, merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan petugas serta pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran sambutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

621
Kongsi :
Previous post ZAKAT RIQAB MAIM BANTU ‘ORANG DISELIA’ BINA HIDUP BAHARU