800 ANGGOTA POLIS BERTUGAS, PASTIKAN KELANCARAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DI KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 22 Ogos – Kira-kira 800 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran lalu lintas sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Dataran Klebang bermula 29 Ogos ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata meskipun sambutan kali ini berlangsung di lokasi baharu, namun ia tidak menjadi masalah berikutan persiapan rapi sudah dilaksanakan semua agensi berkaitan.

“Pihak polis membantu daripada segi keselamatan dan juga kelancaran lalu lintas yang mana kita gerakkan lebih kurang 800 anggota sepanjang sambutan itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Konvoi ‘Charity Ride’ Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Superbike Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Sambutan Ambang Merdeka ke-69 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini.

Terdahulu, Dzulkhairi melakukan pelepasan ‘flag off’ seramai kira-kira 150 peserta konvoi yang bergerak menghala ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai penutupan jalan, beliau berkata beberapa laluan terutama sekitar Klebang akan ditutup secara berperingkat bagi memastikan kelancaran sambutan.

Katanya, antara laluan yang akan ditutup ialah Jalan Pantai Klebang manakala lampu isyarat Dataran Klebang akan ditutup bermula 26 hingga 31 Ogos.

“Lampu isyarat Hospital Oriental di Jalan Persisiran Pantai dan lampu isyarat Balai Polis Batang Tiga turut terlibat dalam penutupan dan kawalan trafik secara berperingkat.

“Memandangkan kawasan jalan itu agak sempit, kita minta supaya pengunjung-pengunjung mengatur perjalanan supaya tidak berlaku kesesakan yang teruk, penutupan jalan akan dibuat secara berperingkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post HARI KEBANGSAAN MELAKA: 30 BAS, 90 VAN SHUTTLE PERCUMA MUDAHKAN ORANG RAMAI
Next post UMIS@UNIMEL: TRANSFORMASI UNIVERSITI DIGITAL, LESTARI