
PELAJAR CEMERLANG MELAKA DAPAT HADIAH SIMPAN SSPN PRIME
AYER KEROH 22 Ogos – Kecemerlangan akademik pelajar Melaka bukan sekadar diraikan dengan sijil dan penghargaan, malah diterjemahkan dalam bentuk simpanan pendidikan apabila RM301,900 dikreditkan ke akaun Simpan SSPN Prime sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dalam peperiksaan STAM, STPM, SPM dan Sijil Tahfiz Malaysia.
Penghargaan itu diberikan pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STAM, STPM, SPM dan Huffaz Negeri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.
Pengarah Negeri Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Melaka Mas Anisah Ayu Othman berkata, penghargaan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama PTPTN dalam membudayakan amalan menabung sejak awal, di samping menyokong agenda pembangunan modal insan yang berkualiti.
“Simpanan melalui Simpan SSPN Prime bukan sahaja menjadi bentuk penghargaan kepada penerima, malah dapat membantu memupuk kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan dan persediaan awal bagi menampung keperluan pendidikan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mas Anisah turut berharap pengiktirafan yang diberikan menjadi pembakar semangat kepada seluruh pelajar untuk terus melakar kecemerlangan.
“Ini seterusnya merealisasikan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kemajuan Negeri Melaka serta negara,” tambahnya.
Terdahulu, majlis apresiasi anjuran Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bersama Jabatan Ketua Menteri Melaka itu meraikan seramai 590 pelajar cemerlang Melaka dalam peperiksaan STAM, STPM, SPM dan Sijil Tahfiz Malaysia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


