KETUA MENTERI TURUN PADANG JUMPA RAKYAT MACHAP JAYA, ASAHAN ESOK

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 22 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan turun padang menjelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Asahan menerusi program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, esok.

Ia merupakan siri jelajah ke-14 dan 15 yang menjadi platform bagi Ketua Menteri menyantuni pelbagai lapisan masyarakat selain menyampaikan bantuan serta melihat sendiri keperluan penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan.

Di DUN Machap Jaya, program yang bermula pada 8.30 pagi itu melibatkan lima lokasi dengan konvoi Ketua Menteri bersama peserta bergerak dari Freeport A’Famosa Outlet sebelum menyantuni anggota keselamatan, penerima bantuan, masyarakat Cina dan komuniti Orang Asli.

IMG
JELAJAH Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Machap Jaya.

Antara pengisian utama ialah penyampaian sumbangan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, balai polis dalam kawasan DUN berkenaan, Klinik Kesihatan Machap Baru, Tebong dan Hutan Percha, selain bantuan alat bantu pulih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta JPKK Baru (JPKKB).

Ketua Menteri turut dijadual menyerahkan sebuah rumah bina baharu di bawah Program Melaka Rumahku kepada penerima di Kampung Bukit Bulat, selain menyampaikan bantuan kepada warga emas peneroka FELDA Bukit Bulat dan golongan asnaf.

Jelajah itu kemudian diteruskan dengan sesi santuni masyarakat Cina di Machap Baru dan komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Tebong Stesen sebelum berakhir dengan Ramah MeSRa bersama masyarakat di Dewan Terbuka FELDA Tun Ghafar Menggong.

Pada majlis berkenaan, pelbagai sumbangan turut disampaikan kepada institusi pendidikan, rumah ibadat, tahfiz, sekolah rendah dan menengah serta komuniti setempat dalam DUN Machap Jaya.

Sementara itu, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Asahan pula bermula pada sebelah petang dengan peserta konvoi berkumpul di Duta Riang Selandar sebelum bergerak menuju ke empat lokasi.

IMG
JELAJAH Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan.

Antara agenda utama ialah penyerahan Notis 5A FELCRA Generasi Kedua di FELCRA Bukit Sedanan Desa Mesra Perdana, termasuk sumbangan tunai dan kit makanan kepada 20 penerima dari beberapa kawasan di DUN berkenaan.

Ketua Menteri turut dijadual menziarahi rumah seorang penduduk di Kampung Jus bagi menyempurnakan penyerahan projek bina baharu dan baik pulih rumah serta menyampaikan bantuan kepada 20 penerima.

Di Kampung Abbey pula, beliau akan menghadiri Majlis Pecah Tanah Dewan Baharu selain menyampaikan sumbangan pembangunan tanah perkuburan Islam baharu Kampung Asahan, karpet kepada Surau Iman Bukit Palembang serta bantuan tunai dan kit makanan kepada 45 penerima.

Jelajah berkenaan akan berakhir menerusi Ramah MeSRa Ketua Menteri bersama masyarakat di Taman Nyalas Permai.

Antara sumbangan yang akan disampaikan pada majlis itu termasuk lampu solar kepada empat kampung Orang Asli, kit makanan kepada 180 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli DUN Asahan serta Smart TV kepada 10 Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Selain itu, bantuan komputer kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kamera litar tertutup (CCTV) kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seri Murni FELDA Tun Ghafar Bukit Senggeh, bantuan baik pulih Pusat Kegiatan Masyarakat Blok 10 FELDA Bukit Senggeh serta sumbangan kepada Persatuan Seni dan Warisan DUN Asahan turut dijadual disampaikan.

Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat itu mencerminkan pendekatan Kerajaan Negeri yang memberi tumpuan kepada penyampaian bantuan secara terus kepada rakyat, di samping memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri dengan komuniti setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

768
Kongsi :
Previous post UPNM BUKAN SEKADAR BINA KEMUDAHAN, BENTUK JATI DIRI MASYARAKAT ALAI