
ZOO MELAKA TARIK PERHATIAN PAKAR HIDUPAN LIAR ANTARABANGSA
AYER KEROH 6 September – Zoo Melaka berpotensi menjadi antara hab penting di Asia Tenggara bagi memperkukuh kepakaran dan standard pengurusan anestesia hidupan liar menerusi perkongsian ilmu serta kepakaran antarabangsa.
Pengarah Urusan dan Pengasas Wildlife Pharmaceuticals, Dr. Cobus Raath berkata, penganjuran Wildlife Anaesthesia Workshop 2026 di Zoo Melaka membuktikan keupayaan lokasi berkenaan menjadi platform perkongsian kepakaran dalam pengurusan hidupan liar yang selamat dan beretika.
Menurutnya, bengkel yang julung kali dianjurkan itu turut memberi peluang kepada peserta tempatan dan antarabangsa mempelajari protokol serta teknik terkini berkaitan anestesia dan imobilisasi haiwan.
“Saya sangat kagum. Ini merupakan kali pertama saya datang ke Malaysia dan saya sangat menyukainya.
“Bengkel ini juga dianjurkan dengan sangat baik, selain kerjasama daripada pasukan doktor veterinar Zoo Melaka, peserta dan pihak penaja yang sangat menakjubkan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas bengkel berkenaan di Zoo Melaka, di sini, pada Jumaat.
Dr. Cobus berkata, masih terdapat ruang yang luas untuk memperkukuh pengurusan hidupan liar di Asia Tenggara, khususnya melalui perkongsian ilmu, penyelidikan dan kepakaran antarabangsa.
“Terdapat banyak institusi di rantau ini yang menjalankan penyelidikan berkaitan hidupan liar, sekali gus membuka peluang untuk mempertingkatkan lagi kaedah dan prosedur pengurusan haiwan.
“Kita perlu memastikan standard etika dalam pengurusan hidupan liar terus dipertingkatkan dan bengkel seperti ini dapat membantu mencapai matlamat tersebut,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk kembali ke Zoo Melaka bagi meneruskan perkongsian kepakaran sekiranya diberikan peluang pada masa akan datang.
“Sudah tentu saya akan datang semula ke zoo ini jika diberikan peluang kerana masih banyak kerja yang perlu dilakukan di Asia Tenggara,” katanya.
Wildlife Anaesthesia Workshop 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 September dengan menghimpunkan 26 peserta terdiri daripada doktor veterinar, termasuk 11 peserta antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Latihan berkenaan meliputi prosedur imobilisasi kimia, pemantauan anestesia, prosedur klinikal serta fasa pemulihan bagi pelbagai spesies hidupan liar termasuk kuda belang, harimau bintang, beruang matahari, nilgai, orang utan dan ungka.
Bengkel berkenaan merupakan hasil kerjasama Amber Compounding Pharmacy, Wildlife and Exotic Veterinary Special Interest Group (WEVSIG), Zoo Melaka, Wildlife Pharmaceuticals dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


