WTE SUNGAI UDANG KINI MASUK FASA PEMBINAAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SUNGAI UDANG 7 September – Projek Loji Waste-to-Energy (WTE) Sungai Udang kini memasuki fasa pembinaan selepas kerja-kerja tanah selesai, sekali gus meneruskan usaha merealisasikan projek yang tertangguh hampir lapan tahun.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kerja-kerja pembinaan kini sedang berjalan dan projek berkenaan dijangka siap pada 2029.

“Setakat ini mereka telah pun selesai kerja tanah dan dalam proses pembinaan, insya-Allah dijangka siap dalam tahun 2029,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita dan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Kariah Seri Bertam sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Taman Desa Bertam, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis perasmian pecah tanah itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Rais yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang berkata, WTE Sungai Udang merupakan antara projek yang diberi perhatian sejak beliau memegang portfolio berkaitan Kerajaan Tempatan selain menjalankan peranan sebagai Penyelaras DUN berkenaan.

“Itu adalah salah satu perkara awal yang ketika saya memegang portfolio sebagai Exco yang bertanggungjawab Kerajaan Tempatan dan juga sebagai Penyelaras DUN Sungai Udang, kita kejarkan. Projek yang telah tertangguh hampir lapan tahun.

“Jadi Alhamdulillah terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas ‘support’ yang kuat selama ini,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian WTE kelak diharap dapat membantu menangani isu berkaitan pencemaran dan bau di kawasan berkenaan, selain menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap pengurusan sisa pepejal.

Projek WTE Sungai Udang sebelum ini dilaporkan bernilai RM660 juta dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2029, dengan kapasiti memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal sehari serta menjana sehingga 22 megawatt tenaga elektrik.

Kemajuan terkini projek itu memberi perkembangan baharu terhadap usaha Melaka memperkukuh pengurusan sisa pepejal, khususnya selepas tempoh panjang penantian sebelum pembinaannya direalisasikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post BUKAN AUTA, BUKAN DUSTA..INILAH MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post MBMB, PAHLAWAN BUMI MELAKA HIJAUKAN PANTAI KAMPUNG HAILAM