
SOKONGAN MAIM, TAPEM PERKUAT LANGKAH ANAK MELAKA DI MESIR
PENGKALAN BATU 11 September – Keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak Melaka yang menuntut di Mesir terus terbela.
Presiden Ikatan Mahasiswa Anak Melaka Mesir (IMAM) sesi 2025-2026, Nasrul Adli Jainal, 24, berkata, pelbagai kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri termasuk penginapan dan dermasiswa memberi manfaat besar kepada pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Menurut penuntut tahun kedua Universiti Al-Azhar dalam bidang Pengajian Qiraat itu, Kerajaan Negeri menyediakan dua buah Wisma Negeri Melaka yang mampu menempatkan kira-kira 200 hingga 250 pelajar.
“Alhamdulillah, MAIM dengan kerjasama TAPEM menyediakan fasiliti yang amat baik untuk kami, khususnya pelajar Melaka di Mesir.
“Kerajaan Negeri Melaka menyediakan dua buah bangunan yang boleh menempatkan sekitar 200 hingga 250 pelajar, manakala TAPEM pula menyediakan dermasiswa sebanyak RM7,000 setahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nasrul Adli berkata, perhatian Kerajaan Negeri terhadap kebajikan pelajar bukan hanya tertumpu kepada bantuan kewangan, malah turut meliputi penyediaan kemudahan penginapan yang selesa dan pemantauan secara berkala.
“Setiap tahun Wisma Negeri Melaka didatangi pihak kedutaan bagi menyelia setiap fasiliti dan alhamdulillah, kedua-dua Wisma Negeri Melaka mendapat penilaian yang baik berbanding wisma negeri lain,” katanya.
Menurutnya, aspek kebajikan pelajar turut dipantau melalui kerjasama antara Pejabat Atase Pendidikan Melaka dan IMAM bagi memastikan sebarang permasalahan dapat ditangani dengan segera.
“Kalau ada apa-apa berkaitan kebajikan, Pejabat Atase Pendidikan Melaka bersama IMAM akan membuat susulan secara terperinci dan telus mengenai kebajikan setiap anak Melaka di Mesir,” katanya.
Dalam pada itu, Nasrul Adli mewakili seluruh warga pelajar Melaka-Mesir merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Kerajaan Negeri, khususnya MAIM serta TAPEM atas komitmen berterusan membantu mereka.
Dalam pada itu, dia turut menggalakkan lebih ramai anak Melaka merebut peluang melanjutkan pengajian di Mesir bagi menimba ilmu dan pengalaman dalam persekitaran berbeza.
“Untuk adik-adik atau pelajar yang ingin ke Mesir, datanglah ke Mesir dan timbalah pengalaman di sini. Saya jamin pengalaman yang diperoleh di Mesir tidak akan dapat dirasai di tempat lain, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


