PENDEKATAN M.E.L.A.K.A JADI PEDOMAN – SUK

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SERI NEGERI 11 September – Pendekatan M.E.L.A.K.A diperkenalkan sebagai panduan dan budaya kerja baharu bagi meningkatkan kualiti penyampaian Perkhidmatan Awam Negeri Melaka, selaras dengan keperluan perkhidmatan yang lebih responsif dan berorientasikan rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, pendekatan itu merangkumi enam nilai utama iaitu Mesra, Empati, Laju, Akal, Kerjasama dan ‘Agile’ yang perlu diterapkan dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, Nilai M atau Mesra menekankan kepentingan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri bersikap ramah serta penuh hemah terhadap semua pihak berkepentingan, sama ada pemimpin, rakyat mahupun sesama agensi, selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Manakala, nilai E iaitu Empati, ujar beliau, menuntut penjawat awam mendengar dan mendalami setiap permasalahan serta aduan rakyat sebelum diterjemahkan kepada tindakan.

“L untuk Laju pula menekankan kepantasan bertindak dan ketepatan membuat keputusan tanpa mengetepikan peraturan, prosedur dan undang-undang.

“A untuk Akal menuntut penjawat awam mengangkat ilmu pengetahuan serta pemikiran kreatif dalam mencari penyelesaian terbaik.

“K untuk Kerjasama pula, saya mahu tiada lagi jabatan bergerak sendiri, sebaliknya kita bergerak atas semangat kebersamaan dalam satu pasukan.

“A yang terakhir ialah ‘Agile’, iaitu penjawat awam perlu segera mengadaptasi perubahan dan bersikap dinamik bagi memastikan penambahbaikan berterusan dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Perjumpaan SUK Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat @Limat; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Salhah berkata, pendekatan M.E.L.A.K.A diperkenalkan sebagai satu akronim yang mencerminkan identiti negeri selain menjadi panduan bersama kepada penjawat awam yang berkhidmat di Melaka.

“Pendekatan M.E.L.A.K.A yang diperkenalkan ini memberi imej baharu kepada kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Melaka.

“Diharapkan pendekatan ini menjadi panduan dan budaya kerja baharu kepada semua warga perkhidmatan awam negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post ‘DATANG AYER LIMAU TAK SAH KALAU TAK JAMAH SERABAI’
Next post MELAKA CADANG TUBUH MCDU PANTAU PELAKSANAAN SEMUA PROJEK, INISIATIF