TALI AIR SUNGAI SIPUT KEMBALI RIUH, 100 ORANG KAMPUNG TURUN MEMANCING

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 13 September – Selepas sekian lama sepi tanpa aktiviti, kawasan tali air berhampiran Masjid Ar-Rabbani, Kampung Sungai Siput, di sini, kembali riuh dengan sorakan dan gelak tawa apabila hampir 100 penduduk ‘turun’ menyertai Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar sempena Festival Sungai Melaka 2026 Daerah Alor Gajah.

Pertandingan itu juga merupakan antara pengisian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, sekali gus menghidupkan kembali kawasan berkenaan dengan penglibatan penduduk daripada pelbagai lapisan umur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Siput, Hussin Ahmad, 69, berkata, sambutan yang diterima itu berjaya menghidupkan semula minat penduduk terhadap aktiviti memancing yang sudah lama tidak dianjurkan di kawasan berkenaan.

IMG 20260912 WA0069
ANTARA tangkapan yang didaratkan peserta.

“Alhamdulillah, sokongan penduduk kampung amat baik dan apabila mendengar ada pertandingan memancing, mereka berminat untuk menyertainya.

“Selama ini mungkin sudah lama kita tidak buat pertandingan memancing, jadi apabila WRUR memberi peluang kepada Sungai Siput untuk menganjurkannya, penduduk begitu bersemangat dan teruja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hussin berkata, pertandingan anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu menawarkan hadiah wang tunai menarik dengan johan membawa pulang RM500, diikuti tempat kedua RM300 dan ketiga RM200.

Katanya, hadiah turut disediakan bagi kategori ikan terpantas selain cabutan bertuah untuk peserta dan penduduk kampung bagi memeriahkan lagi program.

“Lebih istimewa, pertandingan ini bukan sahaja disertai kaum lelaki tetapi turut mendapat penyertaan kaum wanita termasuk ibu tunggal.

“Kampung ini mempunyai kira-kira 80 ibu tunggal dan program seperti ini memberi peluang kepada mereka untuk turut keluar bersama penduduk serta mengambil bahagian dalam aktiviti kampung,” katanya.

IMG 20260912 WA0070
TURUT disertai peserta wanita.

Menurutnya, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat membuktikan aktiviti santai seperti pertandingan memancing mampu menjadi medium untuk mengeratkan hubungan komuniti.

“Pertandingan ini bukan semata-mata untuk merebut hadiah, lebih penting ia menjadi platform mengumpulkan penduduk dalam suasana santai dan mengeratkan hubungan komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

505
Kongsi :
Previous post FESTIVAL SUNGAI MELAKA ‘HIDUPKAN’ EKONOMI KOMUNITI AYER LIMAU
Next post AZAM TOK HAMEED PASTIKAN ANAK AYER LIMAU TIDAK KECICIRAN DALAM PENDIDIKAN