
USAHA BANTU PENERIMA KEBAJIKAN DIPERTINGKAT – HAMEED
AYER LIMAU 13 September – Jumlah penerima kebajikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau meningkat kepada lebih 800 orang setakat ini berbanding kira-kira 400 orang pada 2021.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, peningkatan itu menunjukkan usaha mengenal pasti dan membantu golongan yang memerlukan terus diberi perhatian di DUN berkenaan.
“Alhamdulillah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah penerima kebajikan di DUN Ayer Limau semakin meningkat.
“Ini bukti bahawa kita sentiasa turun padang untuk cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia Ramuan China Besar, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azeem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, peningkatan jumlah penerima itu bukan bermakna masalah kebajikan semakin bertambah, sebaliknya menunjukkan lebih ramai golongan memerlukan berjaya dikenal pasti dan mendapat perhatian.
“Kerajaan hari ini tidak mahu mana-mana rakyat tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


