
KEMISKINAN BUKAN NOKTAH, ANAK ASNAF MAMPU UBAH NASIB – KM
TANJUNG BIDARA 13 September – Kemiskinan bukan noktah kehidupan apabila anak-anak daripada keluarga asnaf terus diberi peluang mendapatkan pendidikan dan membina masa depan lebih baik.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan 89 penerima Anugerah Tunas Inspirasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Tahun 2026 membuktikan latar belakang keluarga bukan penentu mutlak kejayaan seseorang.
Katanya, anak-anak daripada keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf juga mampu mencapai kejayaan setanding orang lain sekiranya dibekalkan ilmu, peluang, disiplin serta sokongan yang sewajarnya.
“Latar belakang kehidupan bukan penentu mutlak masa depan.
“Asal-usul kita mungkin berbeza, kemampuan keluarga mungkin tidak sama, tetapi dengan ilmu, peluang, disiplin dan doa, anak-anak daripada keluarga asnaf juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM Tahun 2026 di Kompleks Falak Al- Khawarizmi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti memberi ruang dan pengiktirafan kepada golongan yang berusaha serta mempunyai potensi untuk mengubah kehidupan.
Tambahnya, kejayaan anak-anak berkenaan turut menjadi bukti bahawa kekurangan bukan penghalang untuk seseorang mencipta masa depan yang lebih baik.
“Ada usaha, kita beri pengiktirafan; ada potensi, kita buka peluang dan apabila ada anak-anak yang mahu mengubah nasib, Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan mereka berjalan sendirian.
“Anak-anak daripada keluarga asnaf tidak seharusnya melihat kesempitan hidup sebagai alasan untuk menyerah kalah.
“Sebaliknya, gunakan peluang yang ada untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


