ANAK MELAKA JANGAN HANYA KEJAR A, PERLU SEDIA HADAPI ERA AI – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 13 September – Anak-anak Melaka tidak boleh hanya dipersiapkan untuk mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu dibekalkan keupayaan berfikir, kemahiran dan nilai diri bagi menghadapi dunia yang semakin dipengaruhi Kecerdasan Buatan (AI).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perubahan teknologi dan evolusi pasaran pekerjaan menuntut generasi muda mempunyai keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Katanya, pendidikan tidak seharusnya hanya diukur melalui deretan A dalam peperiksaan, tetapi perlu membentuk akal yang tajam, jiwa yang kukuh, akhlak yang luhur dan keberanian menghadapi cabaran.

“Kita mahu anak-anak Melaka bukan sahaja pintar di dalam bilik darjah, tetapi bijaksana membuat keputusan, teguh pendirian dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ini khususnya ketika dunia berdepan ledakan digital, Kecerdasan Buatan (AI) dan evolusi pasaran kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Tahun 2026 di Kompleks Falak Al- Khawarizmi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, generasi muda perlu dipersiapkan untuk dunia yang bakal mereka warisi dan bukan sekadar dunia yang wujud ketika ini.

“Kita tidak boleh hanya menyediakan anak-anak untuk dunia hari ini. Kita mesti mempersiapkan mereka untuk dunia yang bakal mereka warisi.

“Teknologi akan berubah. Pekerjaan akan berubah. Dunia akan berubah. Tetapi satu perkara tidak boleh berubah iaitu nilai, akhlak dan kemanusiaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post KEMISKINAN BUKAN NOKTAH, ANAK ASNAF MAMPU UBAH NASIB – KM
Next post BAYI ASNAF BARU LAHIR TERUS ADA SIMPANAN PENDIDIKAN RM3,000