
‘SEJAK HARI PERTAMA DIBERI AMANAH, INILAH CARA KITA BEKERJA’
TANJUNG BIDARA 18 September – Pendekatan turun padang Kerajaan Negeri untuk mendekati rakyat akan terus dilaksanakan meskipun ada pihak yang mengaitkannya dengan kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, beliau tidak melihat pandangan sedemikian sebagai alasan untuk menghentikan pendekatan yang sudah menjadi sebahagian daripada kaedah pentadbiran Kerajaan Negeri sejak awal beliau menerajui Melaka.
“Apabila ada suara yang mengatakan, ‘ini semua kempen, pilihan raya dah dekat…’
“Saya tidak marah, jauh sekali mahu melatah kerana cara bekerja seperti ini bukan sesuatu yang baharu kita mulakan di Melaka. Sebaliknya, sejak hari pertama saya diberi amanah mengemudi negeri ini, inilah cara kita bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Tanjung Bidara sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, 18 September lalu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, apa sahaja pandangan yang dilemparkan terhadap pendekatan turun padang itu tidak akan mengubah komitmennya untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat selagi amanah masih dipikul.
“Jadi, biarlah apa juga yang mahu diperkatakan. Yang lebih penting, saya mahu tuan-tuan dan puan-puan tahu, selagi amanah ini masih saya pikul, insya-Allah, selagi itulah tanggungjawab kepada rakyat akan terus saya tunaikan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan mendekati rakyat secara langsung membolehkan kepimpinan Kerajaan Negeri memahami isu serta keperluan masyarakat dengan lebih dekat, selain memastikan permasalahan di peringkat akar umbi mendapat perhatian.
Beliau berkata, tanggungjawab kepada rakyat tidak seharusnya terikat kepada soal masa atau keadaan politik semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan selagi mandat dan amanah masih diberikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


