
MELAKA TERUSKAN PENDEKATAN ‘NON-PROTOCOL GOVERNMENT’ – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 18 September – Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pendekatan ‘non-protocol government’ dalam melaksanakan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) pada masa akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu bagi memastikan rakyat mempunyai akses secara terus kepada wakil rakyat dan pimpinan Kerajaan Negeri.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pendekatan tersebut memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat dapat didengar serta diberi perhatian secara langsung tanpa dibatasi kerenah birokrasi.
“Pastinya program WRUR akan diteruskan dan kaedah kita tidak akan berubah kerana kita lebih selesa dalam keadaan ‘non-protocol government’.
“Rakyat boleh datang dan berjumpa siapa sahaja, kaunter mana sahaja. Nak jumpa wakil rakyat ataupun Exco, kalau tidak puas hati, nak jumpa Ketua Menteri pun boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) sempena WRUR DUN Tanjung Bidara di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, pendekatan berkenaan selari dengan dasar Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang mengutamakan kepedulian Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat, selain memudahkan mereka mendapatkan perhatian dan tindakan kerajaan.
“Sebab dasar kita ialah Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dan ini mengikut aturan serta peraturan yang dipermudahkan bagi menyantuni rakyat. Jadi tidak banyak birokrasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


