
TANJUNG BIDARA BERSELAWAT HIMPUNKAN LEBIH 5,000 UMAT ISLAM
TANJUNG BIDARA 18 September – Lebih 5,000 umat Islam hadir memeriahkan Program Tanjung Bidara Berselawat sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di Pantai Tanjung Bidara, di sini, malam ini.
Majlis kerohanian itu diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah serta kenamaan lain.
Program ilmu itu turut diwarnai dengan kehadiran pelbagai lapisan usia bersama-sama menghayati alunan selawat, qasidah dan pengisian agama yang disusun sepanjang program.
Terdahulu, program dimulakan dengan selawat pembukaan dan qasidah oleh kumpulan Ahbabus Sham selepas Maghrib, sekali gus menghidupkan suasana apabila ribuan jemaah turut bersama-sama mengalunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Tausiyah pula disampaikan penceramah, Ustaz Mohamed Zul Ramli Razali, yang mengajak masyarakat menghayati keperibadian serta akhlak Rasulullah SAW dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Pengisian berkenaan turut memberi ruang kepada jemaah melakukan muhasabah diri serta memperkukuh kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi penghayatan sirah, sunnah dan akhlak Baginda.
Program Tanjung Bidara Berselawat menjadi antara pengisian WRUR DUN Tanjung Bidara yang bukan sahaja menghubungkan pemimpin dengan rakyat menerusi aktiviti kemasyarakatan, malah menyemarakkan penghayatan agama dan budaya berselawat dalam kalangan masyarakat setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

