
MELAKA BAKAL JADI MEDAN PERHIMPUNAN SENI SILAT NUSANTARA
TANJUNG BIDARA 19 September – Melaka berhasrat menjadi medan penyatuan warisan seni dan budaya rumpun Melayu menerusi penganjuran Perhimpunan Seni Silat Nusantara yang mengumpulkan penggiat seni silat nusantara pada tahun hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu susulan penganjuran Laga Badai Selat Melaka Tanjung Bidara yang menghimpunkan persatuan silat bukan sahaja dari Melaka tetapi Indonesia, Thailand dan Singapura.
Katanya, program rintis perhimpunan seni dan budaya Nusantara di Melaka itu nanti diharap dapat mengembalikan semula kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Penganjuran Laga Badai Selat Melaka Tanjung Bidara amat memberi kesan yang mendalam kepada saya untuk membangunkan semula warisan seni budaya mempertahankan diri Melayu ini.
“Kalau boleh kita mahu kembangkan lagi pada tahun hadapan dengan penganjuran pertandingan atau perhimpunan seni silat Nusantara yang Melaka akan menjadi tuan rumah.
“Kita akan jemput semua pemain-pemain silat di Nusantara ini seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand iaitu dari Pattani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Dan Penyampaian Hadiah Laga Badai Selat Melaka Tanjung Bidara, di Pantai Tanjung Bidara, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat: Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah dan lain-lain kenamaan.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, perhimpunan itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada pertandingan silat, sebaliknya akan dijadikan program rintis dalam mewujudkan satu platform lebih besar yang menggabungkan seni dan budaya Nusantara di Melaka.
“Saya amat tertarik melihat seni dan gaya, memang menggambarkan bahawa rumpun Melayu ini mempunyai pelbagai nilai swni budaya yang tetapi telah terpisah oleh batasan sempadan peradaban.
“Usaha ini juga diharap dapat memperkukuh hubungan budaya antara masyarakat serumpun menerusi seni silat yang menjadi antara warisan penting dalam sejarah dan budaya Melayu.
“Kita lihat bahawa seni budaya ini boleh dikembangkan sebagai satu produk pelancongan baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


