
TRADISI REWANG KENDURI RAKYAT IMBAU TRADISI DULU
TANJUNG BIDARA 21 September – Tradisi rewang kembali menghidupkan semangat gotong-royong apabila penduduk setempat berganding bahu menyediakan juadah untuk orang ramai sempena Rewang @ Tanjung Bidara: Jamuan Rakyat.
Jamuan makan itu diadakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara beserta Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026.
Bagi Rosemawati Sulaiman, 63, berkata, aktiviti rewang itu berlangsung dalam suasana meriah apabila setiap peserta mempunyai tugas masing-masing dan saling membantu sehingga kerja memasak menjadi lebih mudah.
Katanya, mereka mula memasak seawal 9.30 pagi dan cuaca hujan seketika tidak menghalang mereka meneruskan aktiviti berkenaan.
“Masak secara rewang ini seronok kerana dapat bekerjasama antara satu sama lain. Walaupun ada yang tidak kenal, kami tetap saling membantu.
“Tradisi ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi ukhwah antara penduduk sekaligus memupuk semangat gotong-royong serta kerjasama dalam kalangan masyarakat.
“Pada mulanya saya bersama rakan ditugaskan memasak bubur lambuk tetapi selepas selesai kami turut membantu menyediakan nasi dan lauk-lauk lain,” katanya.

Rosemawati berkata demikian ketika ditemui pada program Rewang @ Tanjung Bidara: Jamuan Makan yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah dan lain-lain kenamaan.
Menurutnya, segala kepenatan ketika menyediakan hidangan turut hilang apabila melihat Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, menikmati makanan yang disediakan serta memuji keenakannya.
“Apabila beliau makan dan puji masakan sedap, rasa penat terus hilang malah kami rasa dihargai dan seronok kerana masakan yang disediakan menepati citarasa,” katanya.
Sementara itu, Siti Azal Mohammad, 65, pula berkata, aktiviti rewang mengimbau kembali tradisi masyarakat terdahulu yang sering berkumpul dan menyediakan hidangan secara bersama untuk sesuatu majlis
“Bukan sekadar memasak tetapi kita dapat berkenalan, berbual dan bekerjasama antara satu sama lain selain suasana seperti ini yang menjadikan rewang cukup istimewa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


