WRUR SELESAI DI 28 DUN, AMANAH KEPADA RAKYAT TIADA GARIS PENAMAT

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 19 September – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang telah menjelajah kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka secara rasmi melabuhkan tirai di DUN Tanjung Bidara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, angka 28 menjadi cukup bermakna kerana ia menandakan WRUR telah selesai menjelajah kesemua DUN di Melaka bagi mendengar denyut nadi, permasalahan serta keperluan rakyat di setiap kawasan.

Meskipun begitu, Ketua Menteri menegaskan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk terus menyantuni rakyat tidak akan pernah berakhir.

“28 DUN telah kita masuk, 28 DUN kita dah santuni dan 28 DUN kita dah dengari denyut nadi rakyat.

“WRUR mungkin telah selesai merentasi 28 DUN, tetapi amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat Melaka tiada garis penamatnya,” katanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.

Menurut beliau, perjalanan WRUR selama kira-kira dua tahun itu membawa seluruh jentera Kerajaan Negeri turun padang merentasi pelbagai kawasan, daripada taman perumahan hingga pesisir pantai dan kawasan pedalaman.

Ab Rauf berkata, biarpun WRUR kini selesai menjelajah kesemua DUN, namun ia bukan alasan untuk seluruh jentera pentadbiran negeri berhenti daripada terus mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Selagi ada rakyat yang memerlukan, selagi ada masalah rakyat yang belum dirungkai, selagi ada suara rakyat yang belum didengarkan, selagi itulah kita mesti terus turun, terus menyantuni serta terus bekerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post KEMERIAHAN PANTAI TANJUNG BIDARA BAWA REZEKI BUAT PENIAGA
Next post WRUR: 28 DUN, 1,981 PROGRAM, HAMPIR 100,000 RAKYAT MELAKA DAPAT MANFAAT