
KEMERIAHAN PANTAI TANJUNG BIDARA BAWA REZEKI BUAT PENIAGA
TANJUNG BIDARA 19 September – Meriah bukan sahaja dengan kehadiran pengunjung malah penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara yang diadakan bersekali dengan Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 turut membawa ‘rezeki’ kepada peniaga setempat.
Penganjuran program itu disifatkan peniaga sebagai peluang terbaik meningkatkan pendapatan selain membantu mempromosikan lagi Pantai Tanjung Bidara sebagai pusat peranginan tersohor.
Peniaga Nur Fathiah Musa, berkata, sambutan terhadap penganjuran pesta diadakan itu amat menggalakkan apabila jumlah kehadiran pengunjung ke lokasi itu meningkat berbanding hari biasa.
“Dengan penganjuran program sebegini kehadiran pengunjung memang ramai malah ini secara tidak langsung membantu peniaga menambah pendapatan.
“Berbanding hari hujung minggu biasa tanpa program kehadiran pengunjung ke sini tidak begitu ramai jadi apabila ada aktiviti seperti ini sedikit sebanyak amat membantu peniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menganjurkan program tahunan di kawasan itu kerana ia mampu mempromosikan Pantai Tanjung Bidara.
“Boleh katakan Pantai Tanjung Bidara semakin dilupakan berbanding dulu jadi apabila adanya pelbagai program ia boleh bantu mempromosikan lagi kawasan ini.
“Jadi saya berharap akan lebih banyak lagi program akan diadakan di Pantai Tanjung Bidara kerana di sini, pantainya cantik malah sudah mempunyai kemudahan fasiliti untuk pengunjung,” katanya.

Bagi seorang lagi peniaga, Zulkhairi Abdul Muid, berkata, penganjuran pesta pantai dengan berapa lagi program lain memberi makna besar kepada peniaga kerana peningkatan kehadiran pengunjung turut memberi kesan positif terhadap pendapatan mereka.
“Saya sendiri seawal jam 3 pagi sudah sampai di gerai untuk membuat persiapan dan kehadiran amat menggalakkan kerana bukan selalu Pantai Tanjung Bidara ini menerima pengunjung yang ramai.
“Pantai Tanjung Bidara ini cantik dan mempunyai keistimewaan tersendiri, jadi program seperti ini memang membantu mempromosikannya dengan lebih meluas,” katanya.
Jelasnya, dia amat berharap lebih banyak program secara berterusan termasuk Melaka Bila Larut Malam boleh diadakan di Pantai Tanjung Bidara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

