WRUR, JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT RANCAKKAN EKONOMI KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

TANJUNG BIDARA 19 September – Penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat turut memberikan tempias kepada penjaja serta peniaga kecil, sekali gus membantu perkembangan ekonomi komuniti setempat.

Peniaga makanan, Zarina Kamat, 53, berkata, penganjuran WRUR di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sarat dengan pelbagai aktiviti yang sebenarnya membuka peluang kepada peniaga kecil sepertinya untuk menjana pendapatan.

Katanya, ada juga dalam kalangan pengusaha katering yang memperoleh faedah hasil daripada penganjuran kedua-dua program berkenaan.

“Secara tidak langsung penjaja kecil dapat mempromosikan produk masing-masing tanpa mengira ia adalah makanan, barangan atau perkhidmatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Tanjung Bidara sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, semalam.

Katanya, inisiatif dilaksanakan Ketua Menteri membuktikan pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini memberikan perhatian berhubung aspek kebajikan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, kemajuan yang dinikmati oleh Melaka dikongsi Kerajaan Negeri bersama semua rakyat Melaka dan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Tok Rauf tidak pilih-pilih, semua dapat. Tanjung Bidara, Ayer Limau, Pengkalan Balak dan kawasan lain pun mendapat manfaat. Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post AB RAUF FOKUS PEMBANGUNAN, JAGA RAKYAT MELAKA