KOMITMEN ‘HIDUPKAN’ SUNGAI MELAKA DIIKTIRAF AIPH WORLD GREEN CITY AWARDS 2026

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 21 September – Komitmen Melaka terhadap alam sekitar menerusi Projek Pemulihan Pengindahan Sungai Melaka mendapat pengiktirafan AIPH World Green City Awards 2026.

Kejayaan itu diraih Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) bagi kategori ‘Living Green for Water’ di AIPH World Green City Awards 2026 di Bari, Itali pada 15 September lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengiktirafan peringkat dunia itu menjadi satu lagi detik bersejarah buat Negeri Melaka dan Malaysia.

“Hakikatnya, semua ini hanyalah sebahagian daripada usaha yang telah dan sedang digerakkan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda kelestarian di Melaka, sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Masih banyak yang perlu kita lakukan, masih banyak ruang yang perlu kita tambah baik dan masih banyak cabaran yang perlu kita tangani bersama,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara(HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Yang turut hadir Penasihat Undang-undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; barisan Exco dan Timbalan Exco; Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Malaysia Azuri Azizah Saedon serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata objektif Kerajaan Melaka jelas iaitu tidak hanya mahu mengejar kemajuan, tetapi memastikan setiap pembangunan yang dibawa mencipta nilai kepada ekonomi, memelihara keseimbangan alam dan akhirnya meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘JANGAN RUNDING DALAM MEDIA SOSIAL, KITA BUAT SECARA RASMI’ – AB RAUF
Next post PERKHIDMATAN VAN SEKOLAH BANTU ATASI ISU PENGANGKUTAN ANAK RIM