
MAIM HULUR SUMBANGAN BAIK PULIH KEMUDAHAN MAAHAD TAHFIZ KASYFUL-ULUM
KLEBANG 22 September – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang membawa berita gembira buat Maahad Tahfiz Kasyful-Ulum Melaka, apabila menerima sumbangan bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih tandas yang mengalami kerosakan.
Mudir Maahad Tahfiz Kasyful-Ulum Melaka, Mohamad Arafat Osman berkata, sumbangan diterima itu amat bermakna kerana pihaknya ketika ini sedang berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan kerja bagi pulih dilakukan.
Katanya, sumbangan RM20,000 diterima daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) manakala difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong turut memberi sumbangan peribadi RM5,000.
“Kami di pihak madrasah amat bersyukur dan lega atas bantuan sumbangan yang diberikan kerana ia satu penghargaan buat warga mahad tahfiz ini.
“Memang kami sedang mencari sumbangan untuk membaiki tandas yang sudah banyak mengalami kerosakan termasuk lampu dan pintu yang rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Adun Klebang ke mahad tahfiz itu sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Klebang yang turut dihadiri Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Shaiful Hizam Johan, semalam.
Menurutnya, sumbangan itu amat bermakna kepada pihak pengurusan kerana dapat membantu menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa untuk kegunaan kira-kira 35 pelajar.
“Memang kami rasa lega apabila menerima sumbangan ini kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban pihak madrasah untuk melakukan kerja baik pulih sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar.
“Mewakili pihak mahad tahfiz saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri, MAIM , wakil rakyat dan pihak yang terlibat kerana membantu meringankan beban kewangan.
“Sumbangan ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri buat warga mahad tahfiz selain memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


