HASN 2026: MBMB TERIMA ANUGERAH BANDARAYA WARISAN HIJAU

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 24 September – Usaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam memastikan kelestarian dan kebersihan Bandaraya Melaka mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Kelestarian Bandaraya Warisan Hijau daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestaruin Alam sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 baru-baru ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, penghargaan tersebut diberikan sebagai mengiktiraf pelbagai inisiatif dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam menjaga alam sekitar serta memastikan bandar raya kekal bersih serta selesa.

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan termasuk kawalan pencemaran udara menerusi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir, aktiviti kemasyarakatan dan pelbagai lagi inisiatif lain.

“Aspek penjagaan alam sekitar menjadi antara fokus penting MBMB bagi memastikan pembangunan bandar raya dapat dilaksanakan secara lestari.

“Pelbagai aktiviti kita laksanakan yang melibatkan penjagaan alam sekitar, termasuk usaha mengawal pencemaran udara serta aktiviti gotong-royong bersama masyarakat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, penghargaan itu menjadi suntikan semangat kepada MBMB untuk terus memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar menerusi pelbagai program dan pendekatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penghargaan ini bukan sekadar memberi suntikan semangat kepada warga kerja MBMB namun usaha berterusan memastikan Bandaraya Melaka terus bersih, selesa dan tidak tercemar adalah satu kewajipan amat penting untuk masa depan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sambutan Hari Alam Sekitar Negara, MBMB bersama tiga lagi PBT di negeri menerima anugerah khas yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post TARIKH LAHIR SAMA, NOAH AR RAUF ‘HADIAH’ ISTIMEWA BUAT AB RAUF
Next post HASN 2026: MPJ DIIKTIRAF PERINTIS TENAGA BOLEH BAHARU, KELESTARIAN AGRO