INTEGRITI, AMANAH JADI TERAS WARGA MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 24 September – Nilai integriti dan amanah perlu terus menjadi teras dalam budaya kerja warga Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan penuh dedikasi serta selaras dengan tuntutan syariat Islam.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rosli Abdullah berkata, aspek integriti bukan sahaja penting dalam melaksanakan tugas, malah perlu diterapkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk warga kerja yang mempunyai sahsiah dan nilai moral yang baik.

Katanya, hubungan dengan Allah SWT juga memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pekerjaan yang dilaksanakan sentiasa berpandukan nilai agama dan amanah.

“Kesibukan dalam bekerja tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan kewajipan sebagai seorang Muslim, khususnya dalam menjaga solat dan ibadah harian.

“Keseimbangan antara tuntutan pekerjaan dan tanggungjawab kepada Allah SWT perlu sentiasa diberi perhatian bagi membentuk warga kerja yang bukan sahaja kompeten, tetapi turut mempunyai nilai integriti dan sahsiah yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Bicara Integriti MAIM yang turut dihadiri Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis serta sebahagian pegawai dan kakitangan MAIM, baru-baru ini.

Menurut Rosli, pelaksanaan tanggungjawab dengan penuh amanah mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi selain membantu menjaga imej dan prestasi organisasi.

Katanya, budaya kerja yang berteraskan integriti perlu diperkukuh secara berterusan supaya setiap perkhidmatan yang disampaikan kepada masyarakat dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan berlandaskan nilai agama.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Inovasi kepada pegawai dan kakitangan MAIM sebagai penghargaan terhadap usaha serta sumbangan mereka dalam memperkasakan budaya inovasi dalam organisasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

702
Kongsi :
Previous post DULU 30 MINIT, KINI BAWAH 10 MINIT LALU DURIAN TUNGGAL
Next post RUNDINGAN KERJASAMA PRN MELAKA BELUM BERMULA – AB RAUF