ILMU PESARA JADI PENYULUH GENERASI BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 24 September – Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Melaka disaran terus menyumbang ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan kepada generasi penjawat awam serta masyarakat meskipun sudah menamatkan perkhidmatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengalaman puluhan tahun yang dimiliki golongan pesara terlalu bernilai untuk dibiarkan terhenti bersama tarikh persaraan.

Katanya, ilmu dan pengalaman berkenaan boleh terus dimanfaatkan menerusi pelbagai platform termasuk persatuan, koperasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi masyarakat, kepimpinan akar umbi dan institusi keagamaan.

“Saya berharap ilmu dan pengalaman tuan puan dapat terus menjadi panduan kepada generasi penjawat awam yang datang selepas ini.

“Supaya yang ditanam menjadi teduhan, yang dirintis menjadi pedoman dan yang diwariskan terus menjadi suluh buat generasi mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azrem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; wakil pesara Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 Datuk Wira Azhar Arshad serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, hubungan antara Kerajaan Negeri dengan golongan pesara juga perlu terus dipelihara menerusi penglibatan mereka dalam Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Negeri Melaka serta aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, penglibatan aktif pesara dalam masyarakat bukan sahaja membolehkan pengalaman mereka dimanfaatkan, malah memastikan khidmat dan kepakaran yang diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan terus memberi manfaat kepada orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post DEBAT PIALA KETUA MENTERI BENTUK MAHASISWA BERFIKIRAN KRITIS
Next post PENDIDIKAN ANAK MUDA TIDAK TERHENTI DI BILIK KULIAH – AB RAUF