IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAKA CIPTA SEJARAH, JUARA DEBAT PIALA KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 24 September – Pasukan A Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melaka mencipta sejarah sebagai juara sulung Pertandingan Debat Piala YAB Ketua Menteri Melaka 2026, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM3,000 dan piala pusingan.

Kemenangan itu diraih selepas menewaskan pasukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada peringkat akhir yang berlangsung di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadiah kemenangan disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee.

Sementara itu, UTeM yang muncul naib juara membawa pulang RM2,000 berserta piala, manakala Pasukan B IPG Kampus Perempuan Melaka di tempat ketiga dengan RM1,000 dan piala.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan 14 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Melaka dalam persaingan selama dua hari di Auditorium Seri Negeri.

Penganjuran oleh Institut Tun Perak dengan kerjasama UTeM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) itu menjadi platform kepada mahasiswa menguji keberanian, kemahiran berhujah serta pemikiran kritis.

Selain mengasah kemahiran berdebat, pertandingan berkenaan turut memberi ruang kepada peserta mencabar keupayaan diri dan keluar daripada zon selesa menerusi persaingan bersama pasukan daripada pelbagai IPT.

Pertandingan itu juga menjadi medan kepada mahasiswa membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan menyampaikan hujah secara tersusun dan berkesan dalam suasana persaingan yang kompetitif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post MELAKA KENANG BAKTI PESARA PERKHIDMATAN AWAM
Next post PESARA ‘TIANG SERI’ PEMBANGUNAN MELAKA