USAHA BASMI AEDES PERLU LIBAT SELURUH KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

JASIN 26 September – Usaha membasmi tempat pembiakan Aedes perlu dilaksana secara berterusan menerusi penglibatan seluruh komuniti, sekali gus memutus rantaian penularan demam denggi di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kebersihan persekitaran mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kesihatan awam khususnya dalam usaha mencegah penularan wabak penyakit.

Katanya, penganjuran bersekali Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bil. 2/2026 dan Program Hari Cuci Malaysia 2026 amat bertetapan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan kawasan kediaman termasuk persekitaran awam bebas daripada tempat pembiakan Aedes.

“Gotong-royong bukan sekadar aktiviti membersihkan kawasan tetapi tindakan pencegahan yang penting bagi memutuskan rantaian penularan denggi.

“Justeru, usaha ini perlu dilaksana secara berterusan dan melibatkan seluruh komuniti selain kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak berkuasa semata-mata.

“Saya percaya, sekiranya semua pihak memainkan peranan dan mengambil tindakan secara konsisten, kita mampu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Cuci Malaysia 2026 Dan Gotong-Royong Mega Perangai Aedes Bil.2/2026 Peringkat Negeri Melaka, di Taman Rekreasi, Taman Maju, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Mahathir Mustafa; barisan Yang Dipertua Majlis Perbandaran serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, sehingga Minggu Epidemiologi ke-37 yang berakhir 19 September lalu, Melaka merekodkan 594 kes demam denggi dengan satu kematian selain sebanyak 18 wabak denggi juga telah didaftarkan termasuk satu lokaliti hotspot.

“Walaupun jumlah kes menunjukkan penurunan sebanyak 27.47 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kita tidak boleh berasa selesa kerana masih terdapat kawasan yang memerlukan perhatian berterusan.

“Antaranya ialah Taman Maju, Jasin, yang merekodkan 24 kes. Antara cabaran dikenal pasti di kawasan ini ialah kewujudan rumah-rumah terbiar dan tidak berpenghuni yang berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes.

“Keadaan ini menyukarkan usaha pemantauan, khususnya apabila premis berada dalam keadaan berkunci,” katanya.

Jelas beliau, kerjasama pemilik premis, komuniti, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan amat diperlukan bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa tiasa berada dalam keadaan bersih seterusnya tidak menjadi punca pembiakan Aedes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post HANYA RM35, JOM MANDI-MANDA DI MELAKA WONDERLAND