
KLINIK CANTIQ BAWA MESEJ KECANTIKAN SELAMAT
PENGKALAN BATU 27 September – Masyarakat khususnya wanita diingatkan supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan ketika mendapatkan rawatan atau prosedur kecantikan meskipun mahu mendapatkan hasil penampilan yang diinginkan.
Mesej itu antara yang dibawakan khas pada Hari Bertemu Pelanggan Klinik Cantiq di Taman Lagenda, di sini, yang menjadi platform mendekatkan perkhidmatan klinik estetik dengan masyarakat selain memberi ruang kepada pelanggan mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai penjagaan dan rawatan kecantikan.
Penganjuran Hari Bertemu Pelanggan itu turut menekankan kepentingan mendapatkan rawatan kecantikan secara selamat dan mengikut prosedur ditetapkan, selari dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan penampilan diri.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, keinginan untuk tampil cantik perlu diseimbangkan dengan kesedaran mengenai risiko serta keselamatan sesuatu prosedur yang dijalankan.
“Semua orang nak cantik, tetapi jangan kerana nak cantik kita abaikan keselamatan. Jadi dapatkan rawatan kecantikan di klinik yang betul dengan pakar yang diyakini.
“Pastikan prosedur yang dilakukan betul, selamat dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Jangan hanya melihat kepada hasil akhir tanpa memikirkan risiko kepada diri sendiri,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan program berkenaan, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Strategi Korporat Klinik MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman; Pegawai Perubatan Klinik Cantiq, Dr. Fadhilah Parai serta kenamaan lain.
Menurut Kalsom, hari bertemu pelanggan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelanggan mengenali lebih dekat perkhidmatan yang disediakan, malah dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membuat pilihan yang tepat sebelum menjalani sebarang prosedur kecantikan.
Malah, beliau menyifatkan ia wajar diteruskan sebagai medium pendidikan dan perkongsian maklumat berkaitan penjagaan diri yang selamat serta bertanggungjawab.
“Jangan mudah terpengaruh dengan trend atau tawaran kecantikan semata-mata. Kita mahu masyarakat cantik, tetapi dalam masa sama kesihatan dan keselamatan mesti menjadi keutamaan,” katanya.
Klinik Cantiq merupakan antara rangkaian klinik di bawah Bloom Healthcare bersama Klinik MediPulih dan TULEN, yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kulit, estetik serta pelbagai rawatan berkaitan kecantikan yang dikendalikan doktor bertauliah dan berpengalaman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

