INAP DESA AYER LIMAU GAMIT NOSTALGIA

Masa Membaca:3 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 7 Oktober – Bagi ibu bapa di bandar yang mahu anak kecil mengenali kehidupan desa atau pelancong asing yang membesar di kota, pengalaman bermalam di inap desa luar bandar boleh menjadi pengubat rindu, malah mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak di kampung.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ada yang sanggup meninggalkan tilam empuk hotel bertaraf lima bintang semata-mata mahu merasai kembali ‘irama’ gelegar atau lantai kayu rumah tradisional yang semakin jarang ditemui.

Lebih daripada sekadar tempat bermalam, suasana kampung memberi peluang kepada pengunjung melihat anak-anak berlari di atas gelegar kayu, bermain di halaman rumah serta menikmati kehijauan alam, seolah-olah menghidupkan kembali zaman kecil yang pernah dilalui.

Di Malaysia kini terdapat lebih 200 kluster ‘homestay’ berkonsepkan ‘community based tourism’, dengan sembilan daripadanya berada di Negeri Melaka, termasuk tiga di DUN Ayer Limau yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta mula beroperasi sejak 2009.

Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia, Zohaime Muhamad Sori berkata, konsep pelancongan berkenaan bukan sekadar menawarkan rumah atau bilik untuk bermalam, sebaliknya memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri gaya hidup masyarakat setempat dan budaya tradisional.

“Kalau satu rumah sahaja, konsep itu tidak berjaya. Kluster tidak semestinya hanya satu kampung dan boleh melibatkan lebih daripada satu kawasan, tetapi di Ayer Limau ini kita ada satu kampung satu kluster dengan 18 pemilik kediaman yang mengambil bahagian secara aktif.

“Kita sedar pengunjung yang datang bukan hanya mahu tidur di rumah kayu tradisional, tetapi mahu menjadi orang kampung walaupun lawatan mereka cuma setengah hari atau sehari. Jadi kita susun pelbagai aktiviti menarik supaya mereka pulang membawa kenangan yang bermakna dan bukan sekadar datang sekali,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

1
ZOHAIME, pengusaha Homestay Ayer Limau.

Menurutnya, antara aktiviti yang disediakan ialah lawatan ke ladang getah dan kelapa sawit, memancing serta pengalaman menoreh getah sambil mengenali proses penghasilan susu getah dan kegunaan pokok berkenaan.

“Bagi mencetuskan lagi kemeriahan tinggal di kampung, kita anjurkan sukan rakyat seperti lari dalam guni, boling padang dan lumba terompah besar.

“Pengalaman ini tidak ada di pusat beli-belah di kota besar, tetapi ramai yang rindu untuk merasai semula kemeriahannya.

“Selepas penat menoreh getah dan bersukan, kita bawa mereka ke dapur. Dengan bantuan orang kampung, kita bersama-sama menyediakan makanan tradisional seperti buah Melaka dan peneram,” katanya.

Zohaime berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja menjana pendapatan sampingan kepada penduduk kampung, malah menjadi medium memperkasakan budaya dan warisan tempatan menerusi pakej lawatan yang turut merangkumi pengenalan kepada busana tradisional.

Katanya, amat rugi sekiranya konsep itu hanya berorientasikan komersial dan keuntungan tanpa menyelitkan keunikan seni, budaya serta warisan masyarakat setempat khususnya di Ayer Limau.

“Seronok apabila melihat senyuman dan gelagat pelancong luar negara menggayakan busana tradisional kita. Alhamdulillah, kampung ini sudah disinggahi pelancong dari Eropah, Rusia, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

“Kita juga bawa mereka mengelilingi kampung. Pernah sekali pelancong Jepun begitu teruja melihat suasana kampung, saiz rumah yang besar dan berpagar sehingga menganggap orang kita ini golongan berada.

“Tidak kurang juga yang tertarik dengan kepelbagaian jenis pokok yang ditanam di sekeliling rumah, khususnya pokok buah-buahan,” katanya.

4
PENGALAMAN menoreh getah antara yang menarik perhatian pelawat ke inap desa Ayer Limau.

Sebagai pengusaha inap desa tradisional, Zohaime berharap usaha berkenaan dapat membantu pengunjung, khususnya golongan muda, menghargai keindahan alam dan mengenali asal-usul kehidupan masyarakat yang sebahagian besarnya bermula dari kampung sebelum berhijrah ke bandar.

“Biarlah anak-anak ini kenal pokok yang menghasilkan makanan yang dijamah setiap hari. Jangan sampai hanya tahu makan ayam goreng KFC tetapi sifat dan jenis ternakan itu langsung tidak dikenali. Begitu juga dengan jenis rumah tradisional yang ada di kampung ini.

“Inap desa yang saya usahakan ini ialah rumah Melaka dengan ciri bumbung yang tinggi dan bahagian bawah rumah yang tidak terlalu tinggi. Ia berbeza dengan rumah Perak yang mana orang boleh berdiri di bawahnya, tetapi di Melaka perlu bongkok sedikit.

“Fokus atau keutamaan saya bukan pelancong luar negara, tetapi penuntut universiti kita. Datang dan tengok suasana kampung sementara masih ada kesempatan. Banyak yang boleh dipelajari, terutama bagaimana menjalani kehidupan dalam suasana sederhana tetapi menenangkan.

“Bersama-sama kita menggamit semula nostalgia sebagai budak kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

678
Kongsi :
Previous post MAPEX MELAKA 2026 TAWAR LEBIH 59 PROJEK HARTANAH, HARGA SERENDAH RM90,000
Next post RAKYAT MELAKA MENGUNDI PADA 14 NOVEMBER – SPR