MeSRa SUKAN: MELAKA BINA ‘JUARA’ DARI AKAR UMBI

Masa Membaca:4 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Dari gelanggang komuniti hingga ke podium kejohanan antarabangsa, pembangunan sukan Melaka digerakkan melalui rangkaian program yang merangkumi penyertaan rakyat, pencarian bakat, pembangunan atlet, kemudahan latihan dan persediaan menghadapi kejohanan berprestij.

Pendekatan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Sukan tidak hanya memberi tumpuan kepada pencapaian pingat, bahkan turut membuka ruang kepada masyarakat untuk bersukan, menyediakan laluan kepada bakat baharu dan membentuk atlet yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

SUKAN BERMULA DI AKAR UMBI

Antara gambaran jelas peluasan penyertaan ialah Sukan Melaka Piala YAB Ketua Menteri Melaka yang merekodkan 13,963 peserta pada 2024 sebelum meningkat kepada 15,600 peserta pada 2025.

Penganjuran berkenaan bukan sekadar menjadi medan pertandingan, malah membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk menyertai aktiviti sukan di peringkat negeri.

Bagi memastikan pelaksanaan program sukan terus berjalan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM1.9 juta bagi menganjurkan pelbagai acara sukan yang merangkumi Sukan Melaka Piala YAB Ketua Menteri Melaka, Sukan Warisan Tun Teja khusus wanita, Sukan Penjawat Awam, Kejohanan Sukan Beruniform dan Sukan Dua Jiwa Satu Hati.

BAKAT MUDA DICUNGKIL, ATLET PELAPIS DIBENTUK

Di peringkat pembangunan bakat, seramai 650 atlet baharu telah didaftarkan menerusi Program Pembangunan Sukan Negeri Melaka.

Program itu menjadi antara laluan untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperluas kumpulan atlet pelapis negeri.

Usaha itu kemudiannya diperkukuh menerusi Projek Emas yang bermula pada 1 Ogos 2025 sebagai persediaan menghadapi SUKMA XXII 2026 di Selangor.

Seramai 66 atlet daripada 19 jenis sukan diserap ke dalam program berkenaan, termasuk wushu, badminton, renang, petanque, tinju, berbasikal, olahraga, pencak silat, skuasy, sepak takraw, angkat berat, muay thai, judo, ping pong, catur, tenpin boling dan bola keranjang.

Kesemua atlet berkenaan merupakan penyumbang pingat Melaka pada SUKMA 2024 di Sarawak.

50 PINGAT DI SUKMA 2026

Usaha itu membuahkan hasil apabila kontinjen Melaka melepasi sasaran pada SUKMA XXII 2026 di Selangor apabila membawa pulang 21 emas, 12 perak dan 17 gangsa.

Antara pencapaian utama ialah kontinjen pencak silat muncul juara keseluruhan dengan tiga emas, manakala skuad skuasy wanita Melaka menamatkan penantian 32 tahun untuk kembali meraih emas dalam acara berpasukan.

Pencapaian itu melengkapkan rangkaian pembangunan atlet yang bermula daripada proses mengenal pasti bakat, latihan dan persediaan khusus sebelum diketengahkan ke kejohanan peringkat kebangsaan.

FASILITI DIPERKASA

Pembangunan bintang Melaka turut disokong menerusi penambahbaikan kemudahan sukan di seluruh negeri.

Sebanyak 18 projek naik taraf dan pembaikan fasiliti sukan di Melaka diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi 2025 dengan peruntukan RM940,000.

Selain itu, sebanyak 133 permohonan turut diangkat melibatkan keperluan kemudahan sukan daripada 28 Japerun di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri juga menyediakan RM1.4 juta kepada semua DUN di Melaka, dengan setiap kawasan menerima RM50,000 bagi tujuan membaik pulih fasiliti sukan.

Antara projek yang dilaksanakan termasuk pembaikan gelanggang futsal, kompleks sukan, gelanggang petanque serta kerja menaik taraf gelanggang sukan di beberapa DUN.

Melalui Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), lima fasiliti khusus untuk atlet turut disediakan iaitu Pusat Latihan Angkat Berat Ayer Leleh, Dewan Gimnastik Ayer Leleh, Lapang Sasar Memanah Ayer Keroh, Pusat Perahu Layar Negeri di Pengkalan Balak dan Lapang Sasar Menembak Ayer Keroh.

Selain itu, tiga fasiliti dibuka kepada orang awam mengikut kekosongan iaitu Dewan Badminton MSNM, Dewan Serbaguna MSNM dan Gelanggang Lawn Bowls MSNM.

WhatsApp Image 2026 10 05 at 8.06.00 PM
BERSAMA anak muda pada Sukan Mahasiswa 2026. Foto Pejabat Ketua Menteri

SUKAN SEBAGAI MEDIUM PERPADUAN

MeSRa Sukan turut diperluas menerusi program yang menggabungkan komuniti, penjawat awam dan badan beruniform.

Antaranya Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka yang menjadi platform mempertemukan peserta daripada pelbagai latar belakang.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, kejohanan itu telah berjaya menarik kehadiran lebih 50,000 rakyat dan anggota beruniform menerusi pelbagai jenis sukan dan pengisian lain yang diadakan.

Pada masa sama, turut diadakan Sukan Antara Jabatan dan Agensi Negeri Melaka yang menghimpunkan 32 jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

ATLET OKU TURUT DIBERI RUANG

Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak dipinggirkan dalam agenda sukan negeri apabila pelbagai inisiatif turut disediakan, termasuk menerusi penganjuran Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Negeri Melaka 2026 di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, 31 Julai 2026 yang lalu.

Kejohanan itu menghimpunkan lebih 800 atlet istimewa daripada 28 DUN di Melaka.

Selain itu, dalam Liga Sukan OKU (LiSOKU) Kebangsaan 2025, pasukan tenpin boling Melaka turut berjaya meraih satu pingat emas.

Manakala pada 13th ASEAN Para Games di Nakhon Ratchasima, Thailand pula, atlet Melaka merekodkan tiga emas, empat perak dan tiga gangsa.

DARI GELANGGANG KE PODIUM

Keseluruhan rangkaian pembangunan itu menunjukkan usaha memperluas sukan pada beberapa peringkat, bermula daripada penyertaan masyarakat di akar umbi, pembangunan bakat, penyediaan kemudahan sehingga persediaan atlet menghadapi kejohanan utama.

Di peringkat akar umbi, ribuan rakyat diberi ruang menyertai aktiviti sukan, manakala atlet berpotensi dikenal pasti dan dibentuk menerusi program pembangunan sebelum diketengahkan ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Daripada 650 atlet baharu, 66 atlet Projek Emas, 18 projek naik taraf fasiliti hingga kutipan 50 pingat pada SUKMA 2026, setiap komponen memainkan peranan dalam membentuk ekosistem pembangunan sukan negeri.

MeSRa Sukan akhirnya bukan sekadar mengenai pertandingan dan pingat, tetapi turut merangkumi usaha membina budaya bersukan, mencungkil bakat, menyediakan ruang latihan dan membuka laluan kepada generasi muda untuk berkembang melalui sukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

871
Kongsi :
Previous post PEMBINAAN MICT PERLU IKUT SPESIFIKASI, STANDARD KESELAMATAN DITETAPKAN