
PRN MELAKA: SPR PERKENAL SISTEM OCR-VA, PERCEPAT SEMAKAN KEHADIRAN PENGUNDI
KOTA LAKSAMANA 7 Oktober – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperluaskan pelaksanaan projek rintis Sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance (OCR-VA) ke semua saluran di setiap pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pelaksanaan sistem itu membabitkan kesemua 28 Bahagian Pilihan Raya Negeri (DUN) Melaka sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat kecekapan pengurusan proses pilihan raya menerusi pendigitalan.
“Pelaksanaan projek rintis OCR-VA ini adalah bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik melalui pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Urusan PRU DUN Melaka Ke-16, di sini, hari ini.
Menurutnya, penggunaan sistem berkenaan dapat mempercepatkan proses semakan dan rekod kehadiran pengundi, selain mengurangkan kesilapan penandaan secara manual.
“Pada masa sama, sistem ini dapat meningkatkan kecekapan petugas dan melancarkan proses pengurusan pengundi pada hari mengundi,” katanya.
Ramlan berkata, pelaksanaan OCR-VA tidak mengubah tatacara pengundian sedia ada, sebaliknya hanya membantu memperkemas proses semakan dan rekod kehadiran pengundi.
Beliau berkata, pengundi masih perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa dan mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk tujuan semakan.
“Selepas proses semakan selesai, pengundi akan meneruskan proses pengundian seperti prosedur sedia ada,” katanya.
SPR menegaskan pelaksanaan projek rintis berkenaan adalah sebahagian daripada usaha pendigitalan proses pilihan raya bagi meningkatkan kecekapan pengurusan tanpa mengubah proses pengundian yang dilalui pengundi.
Terdahulu, beliau mengumumkan PRN Melaka akan bermula dengan hari penamaan calon pada 31 Oktober, diikuti 10 November sebagai hari undi awal dan hari pengundian pada 14 November 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


