
MeSRa: MELAKA PERKASA WANITA, KUATKAN KELUARGA, BINA KOMUNITI
AYER KEROH 8 Oktober – Pembangunan wanita bukan sekadar membuka peluang ekonomi, sebaliknya menjadi antara asas kepada pengukuhan keluarga dan pembinaan komuniti yang lebih sejahtera menerusi pelbagai inisiatif di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Menerusi MeSRa Wanita, Keluarga dan Komuniti, pelbagai program dilaksanakan meliputi pemerkasaan ekonomi, kepimpinan, kebajikan, keselamatan, kesihatan serta pembangunan keluarga bagi memastikan keperluan setiap rakyat diberi perhatian secara menyeluruh.
PELUANG EKONOMI WANITA
Antara inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ialah Program Kasih Wanita: Ekonomi Pembangunan Mampan (OMEGA) dengan peruntukan RM40,000.
Menerusi program itu, 30 peserta telah menjalankan perniagaan, dengan 20 daripadanya mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak RM500 sebulan.
Peluang ekonomi wanita turut diperluas menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Wanita yang menerima peruntukan RM10,000 dengan 38 program dilaksanakan membabitkan 580 peserta.
Program Wanita Sejahtera, Wanita Ekonomi, Wanita Selamat dan Wanita Kepimpinan 2025 pula melibatkan 54 program dengan penyertaan 2,000 peserta melalui peruntukan Persekutuan RM20,000.
Usaha berkenaan turut memberi ruang kepada wanita meningkatkan kemahiran keusahawanan dan mengembangkan perniagaan, termasuk melalui pemanfaatan platform digital untuk memperluas jaringan serta pasaran.
KELUARGA DIPERKUKUH DARI AKAR
Pemerkasaan wanita turut dilengkapi usaha memperkukuh institusi keluarga menerusi program yang memberi tumpuan kepada persediaan perkahwinan, keibubapaan, keselamatan keluarga dan kesejahteraan mental.
Menerusi Smart Start 2.0, seramai 30 peserta mengikuti program pra-perkahwinan, manakala Program Kem Naungan Kasih melibatkan 30 peserta dengan pengisian berkaitan kemahiran keibubapaan.
Program Pemerkasaan Bapa pula dilaksanakan sebanyak dua siri dengan penyertaan 81 peserta, diikuti Program PEKA berkaitan pendidikan keselamatan keluarga dan anak yang melibatkan 65 peserta.
Pada masa sama, Program Terapi Minda dilaksanakan sebanyak 11 siri dengan penyertaan 419 peserta sebagai antara usaha memberi sokongan terhadap kesejahteraan mental dalam komuniti.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin sebelum ini menekankan kepentingan pendidikan kepada pasangan muda bagi membantu mereka mengharungi kehidupan berkeluarga.
KESELAMATAN WANITA DAN KANAK-KANAK DIBERI PERHATIAN
Aspek keselamatan turut menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan keluarga menerusi Program Santuni Kasih dan Keganasan Rumah Tangga dengan peruntukan RM10,000 pada 2025.
Sebanyak 12 program advokasi dilaksanakan secara fizikal dan dalam talian dengan penyertaan 4,596 peserta bagi meningkatkan kesedaran mengenai keganasan rumah tangga.
Dalam aspek penjagaan kanak-kanak pula, 124 Taska menerima Plak QR TASKA Berdaftar, membabitkan 87 plak di Melaka Tengah, 23 di Alor Gajah dan 14 di Jasin.
Inisiatif itu membantu ibu bapa mengenal pasti Taska berdaftar selain mendapatkan maklumat berkaitan premis melalui kod QR yang disediakan, sekali gus memastikan keselamatan anak-anak yang dihantar ke pusat jagaan.
KESIHATAN WANITA DIPERKASA
Pembangunan wanita turut merangkumi aspek kesihatan menerusi pelbagai program saringan dan perkhidmatan komuniti.
Bagi tempoh 2023 hingga Julai 2026, sebanyak 345 program khidmat masyarakat dan 71 program perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak LPPKN dilaksanakan dengan manfaat kepada 11,103 wanita.
Sebanyak RM228,240 dibelanjakan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Pendekatan itu memberi ruang kepada wanita mendapatkan akses kepada maklumat serta perkhidmatan kesihatan, termasuk kesedaran terhadap kepentingan saringan kanser serviks.
DARIPADA WANITA KEPADA KOMUNITI
Keseluruhan inisiatif berkenaan menunjukkan pemerkasaan wanita tidak bergerak secara berasingan daripada agenda keluarga dan komuniti.
Daripada membantu wanita menjana pendapatan, meningkatkan kemahiran dan kepimpinan kepada memperkukuh keupayaan ibu bapa, melindungi wanita serta kanak-kanak dan meningkatkan akses kesihatan, pendekatan itu membentuk satu rantaian sokongan yang lebih luas.
Menerusi MeSRa, pembangunan wanita bukan hanya dilihat dari sudut keupayaan individu, sebaliknya turut dikaitkan dengan kekuatan keluarga dan kesejahteraan komuniti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


