KAUT UNTUNG JUAL MINYAK MASAK SUBSIDI DICAMPUR MINYAK KOTOR, 2 LELAKI DITAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PAYA RUMPUT 8 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, pagi tadi.

Serbuan pada jam 10 pagi itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 45 dan 53 tahun serta rampasan 425 kilogram minyak masak peket bersubsidi bernilai RM1,062.50.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, operasi khas membabitkan lima anggota itu dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan selama dua bulan.

Katanya, selain minyak masak bersubsidi, penguat kuasa turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra.

“Siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan dipercayai melibatkan seorang pemegang lesen runcit dan seorang pengumpul minyak masak terpakai.

“Tangkapan ini dilakukan bukan di satu kilang yang besar, bukan di satu kedai runcit, tetapi di sebuah rumah yang dijadikan pusat pengumpulan.

“Hasil siasatan mendapati, pelaku dipercayai mencampurnakan minyak masak peket bersama minyak masak kotor sebelum ia dijual ke pasaran komersial mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di stor KPDN, Krubong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan memindahkan minyak masak berkenaan ke dalam tong jerikin sebelum dijual semula pada harga RM4 sekilogram dipercayai membolehkan pihak terbabit memperoleh keuntungan berganda.

“Ini sesuatu yang amat menyedihkan apabila minyak masak peket untuk rakyat jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

“Sepatutnya minyak masak peket ini ada di tangan orang-orang yang miskin dan susah. Tapi malangnya, 500 rakyat hilang minyak yang patut mereka dapat kerana berada di tangan penyeleweng,” katanya.

Mohd Hazimin berkata, KPDN Melaka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi atau menyeleweng barangan bersubsidi bagi mendapatkan keuntungan.

Katanya, pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan di negeri ini.

“Kami berjanji sepanjang mana tempoh sekalipun, tak kiralah berapa bulan atau berapa minggu, kes yang melibatkan penyelewengan minyak masak di Melaka ini tetap kami akan cari sampai ke lubang cacing dan kami selesaikan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu yang disabitkan kesalahan.

Bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah sehingga RM2 juta jika disabitkan kesalahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post MeSRa: DARI ILMU KE PASARAN, MELAKA LAHIR USAHAWAN BERDAYA SAING
Next post MeSRa: MELAKA PERKASA WANITA, KUATKAN KELUARGA, BINA KOMUNITI